Peniaga makanan kaut untung pindah LPG subsidi, jual harga murah

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan tindakan segelintir peniaga makanan dan minuman yang mengaut keuntungan dengan aktiviti penyiringan atau memindahkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi kepada tong industri kemudian dijual pada harga lebih murah.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mereka bertindak membeli dalam jumlah besar kemudian sebahagiannya digunakan untuk perniagaan manakala selebihnya dijual kepada pihak industri.
"Mereka jual pada harga lebih murah berbanding pasaran tempatan. Kita juga mengesan ada segelintir peniaga yang menyeludup tong gas bersubsidi ke negara jiran.
"Disebabkan itu kita memperhebat Op Gasak bagi mengekang aktiviti penyiringan atau memindahkan LPG bersubsidi kepada tong industri," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu beliau hadir merasmikan Sesi Libat Urus PPKB (Pindaan) 2021 bersama Persatuan Peniaga Makanan Negeri Kelantan di sini.
Menurut beliau, penyelewengan ini berlaku disebabkan wujudnya permintaan terhadap tong gas industri yang lebih murah, sedangkan sumbernya berasal daripada tong gas bersubsidi.
Ujarnya, malah ada syarikat-syarikat pengedar tong gas industri sendiri tampil membuat aduan kepada KPDN bahawa jualan mereka merosot kerana wujud pihak tidak bertanggungjawab menjual tong gas industri pada harga bawah pasaran hasil aktiviti decanting ini.
Mengulas lanjut, Armizan memberitahu, kegiatan berkenaan turut melibatkan kilang-kilang dan syarikat yang tidak layak menggunakan gas bersubsidi, namun tetap mendapatkannya bagi mengurangkan kos operasi.
Ujar beliau, isu tersebut bukan sahaja berlaku di negeri-negeri yang bersempadan, sebaliknya dilaporkan di seluruh negara.
“Walaupun isu penyeludupan ke luar negara adalah di bawah tanggungjawab agensi penguat kuasa lain, namun KPDN tetap bertanggungjawab memastikan sumber LPG bersubsidi ini dikawal sepenuhnya.
“Sebahagian besar kes yang dicatatkan menerusi Op Gasak melibatkan penyelewengan menerusi kaedah 'decanting' kerana permintaan terhadap gas industri murah sangat tinggi,” jelasnya.
Beli minyak masak peket guna kod QR eCOSS diperluas kekang penyeludupan
KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) ke seluruh negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan bekalan minyak masak peket ke sempadan.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sistem itu sebelum ini hanya memantau penghantaran oleh syarikat pembungkus semula kepada peruncit, namun tiada kawalan terhadap transaksi kepada pengguna akhir.
“Isunya ketika ini, pihak berkuasa hanya tahu jumlah minyak masak peket yang dihantar oleh syarikat pembungkus semula kepada peruncit, tetapi tiada data mengenai bekalan kepada pengguna.
“Misalnya, ada peruncit menerima 10 kotak, lima dijual, manakala lima lagi disorok atau diisi semula dan dijual sebagai minyak dalam botol.
“Ada juga kes minyak masak bersubsidi diseludup ke sempadan. Jadi, kerajaan perlu memperluas eCOSS hingga ke peringkat pengguna akhir supaya ketirisan dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Stesen Minyak Shell Panchor di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Pengusaha Shell Panchor, Che Ibrahim Che Ismail yang juga Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad.
Melalui pelaksanaan eCOSS, pengguna perlu memuat turun aplikasi khas dan mengimbas kod respons pantas (QR) setiap kali membuat pembelian minyak masak peket.
Setakat ini, sistem tersebut berada di peringkat projek rintis yang diaplikasikan dalam program Jualan Rahmah, sebelum diperluas ke kedai runcit dan pengguna akhir apabila sistem berkenaan lebih stabil.
Menurut Armizan, antara mekanisme utama yang akan diguna pakai dalam peluasan sistem ini adalah pengimbasan kod QR semasa pembelian, bagi membolehkan setiap transaksi direkodkan dan dipantau secara digital.
“Selepas ini, pembeli perlu menggunakan kod QR. Mungkin ia tidak popular, tetapi ini adalah cara terbaik untuk memantau bekalan minyak masak peket daripada peruncit.
“Selain itu, langkah ini penting bagi memastikan subsidi minyak masak benar-benar sampai kepada rakyat, dan bukan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Tambah beliau, kuota minyak masak peket bersubsidi kekal sebanyak 60,000 tan metrik sebulan di seluruh negara, bersamaan 60 juta peket.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

