Anjur jualan murah tangani kos sara hidup rakyat

SEJAK memegang amanah sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli fokus menangani kos sara hidup yang membebankan rakyat.
Pelbagai program beliau anjurkan termasuk jualan murah yang menawarkan barang keperluan asas pada harga lebih murah berbanding dijual di pasaran.
Ikuti wawancara bersama wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM berhubung agenda Ahli Parlimen Dungun itu.
SINAR HARIAN: Apakah permasalahan yang dikenal pasti di kawasan YB dan apakah solusi yang telah dirancang dan dilaksanakan?
WAN HASSAN: Antara permasalahan yang dikenal pasti di kawasan Dungun adalah berkaitan dengan penyelenggaraan infrastruktur penting termasuk jalan raya, kemudahan awam dan saliran.
Selain itu, terdapat juga isu berkaitan kesihatan seperti perkembangan hospital baharu Dungun yang sering saya suarakan di Parlimen. Alhamdulillah, hospital tersebut sudah mula beroperasi sekarang.
Bagi aspek pendidikan pula, antara isu sering dibangkitkan warga Dungun adalah berkenaan sebuah sekolah di Sura yang beroperasi dalam dua sesi kerana tidak mampu menampung jumlah murid yang ramai.
Bagi menyantuni keluhan warga Dungun, saya mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan berkaitan untuk mengenal pasti projek atau langkah penyelesaian dirancang tetapi mungkin belum mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.
Sebagai Ahli Parlimen Dungun, saya sentiasa mengetengahkan cadangan tersebut dalam perbahasan atau soalan di Parlimen bagi meminta penjelasan kerajaan mengenai perancangan menyelesaikan masalah berkenaan.
SINAR HARIAN: Apakah sumber utama ekonomi penduduk di Parlimen Dungun dan apakah perancangan YB dalam membantu mereka menangani kos sara hidup yang tinggi ketika ini?
WAN HASSAN: Sumber ekonomi utama penduduk di Dungun adalah aktiviti perikanan, pertanian, perniagaan dan sektor perkhidmatan awam. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, sebahagian besar golongan ini memerlukan bantuan bagi menangani kos sara hidup.

Antara inisiatif yang saya laksanakan adalah program jualan murah yang mana warga Dungun boleh mendapatkan barangan keperluan pada harga rendah kerana separuh daripadanya ditanggung oleh Pusat Khidmat Parlimen Dungun.
Selain itu, kerjasama dengan kerajaan negeri dalam penganjuran Pasar Berkat turut diadakan yang mana ia menawarkan barangan asas pada harga jauh lebih murah berbanding dijual di pasaran.
Saya juga memberikan sumbangan peribadi kepada pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke IPTA bagi meringankan perbelanjaan mereka. Sumbangan turut diberikan dalam bentuk duit tambang atau minyak kepada pesakit yang ingin ke hospital.
SINAR HARIAN: Apakah perancangan YB untuk membangunkan lagi kawasan ini khususnya dalam sektor yang melibatkan pembangunan ekonomi rakyat?
WAN HASSAN: Pusat Khidmat Parlimen Dungun sentiasa berusaha mengenal pasti keperluan warga berkaitan peningkatan akses kepada kemudahan penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan ekonomi.
Sebagai contoh, pembangunan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di sekitar Dungun diutamakan bagi memastikan setiap usahawan memperoleh capaian internet dan latihan ICT untuk meningkatkan taraf sosioekonomi setempat.
Selain itu, pembangunan prasarana penting seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga sentiasa dipantau dan dibawa ke Parlimen apabila terdapat isu yang perlu diselesaikan kerajaan.
SINAR HARIAN: Baru-baru ini ketika berucap di Parlimen, YB ada menekankan mengenai cadangan pelebaran jalan dari dua kepada empat lorong dari Tanjung Jara ke Che Lijah dan dari Bukit Bauk ke Kampung Nyior. Boleh YB perincikan perkara itu?
WAN HASSAN: Saya telah membawa cadangan pelebaran kedua-dua jalan tersebut ke Parlimen memandangkan permohonan telah dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri dan JKR Terengganu.
Malangnya, hingga kini masih belum diketahui status permohonan tersebut. Projek penambahan lorong jalan ini penting bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di Dungun.
Menteri hanya menjawab yang permohonan tersebut akan diteliti dan dikemukakan kepada agensi pusat. Saya akan terus memantau status permohonan ini dari semasa ke semasa.
SINAR HARIAN: Apakah pandangan YB mengenai laluan ECRL yang turut melibatkan stesen di Dungun dan impaknya apabila kemudahan itu siap kelak?
WAN HASSAN: Stesen ECRL berpotensi menjadikan Dungun sebagai pusat Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).
Pembangunan baharu di Dungun akan mengambil kira kemudahan akses pengangkutan awam. Ia mampu memberi manfaat limpahan ekonomi kepada rakyat kerana meningkatkan kebolehcapaian mereka ke bandar utama untuk bekerja atau menjalankan aktiviti ekonomi.
Namun, saya akan terus meneliti dan mendapatkan nasihat sewajarnya mengenai projek ini agar masalah seperti first and last mile problem dan kecekapan pengurusan infrastruktur dapat dibawa ke kementerian untuk ditangani.
SINAR HARIAN: Apakah harapan YB sepanjang 2025 ini khususnya dalam membantu rakyat mendepani ekonomi yang semakin mencabar?
WAN HASSAN: Saya harap kerajaan Persekutuan mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira sempadan politik serta berhenti menghukum rakyat di negeri pembangkang yang memilih kerajaan negeri melalui saluran demokrasi.
Kerajaan perlu berusaha melaksanakan manifesto yang dijanjikan berbanding menuding jari kepada pentadbiran terdahulu.
Fokus utama seharusnya menyelesaikan masalah yang memberikan kesan besar kepada rakyat seperti kenaikan kos sara hidup dan dominasi kartel beras.
Selain itu, kerajaan juga perlu memulangkan hasil petroleum kepada kerajaan Terengganu dan peruntukan wakil rakyat pembangkang bagi memastikan rancangan pembangunan dan kebajikan dapat dilaksanakan dengan baik dalam menghadapi ekonomi yang mencabar ini.
PROFIL
Nama: Wan Hassan Mohd Ramli
Tarikh Lahir: 17 Julai 1957
Tempat Lahir: Kampung Kubu Datu Lubok Bongor, Kelantan
Isteri: Siti Zaliha Mohd
Anak: 1 orang
Pendidikan:1964 - 1965: Sekolah Kebangsaan Jerangau Sungai, Dungun
1966 - 1969: Sekolah Kebangsaan Lelaki (Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun)
1970 - 1972: Malaysian Certificate of Education (MCE)
1983 - 1987: Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman dan Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!