Kes bunuh Nhaveen: Perbicaraan bela diri ditetapkan 17 hingga 25 November

GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 17 hingga 25 November ini sebagai tarikh untuk empat individu membela diri selepas didakwa membunuh seorang remaja, T Nhaveen, tujuh tahun lalu.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid terhadap empat individu tersebut, J Ragesuthan, 26; S Gokulan, 26; dan dua individu yang merupakan remaja ketika kejadian.
Perbicaraan bagi kes tersebut sepatutnya disambung pada Selasa hingga Jumaat selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada Januari lalu memerintahkan keempat-empat tertuduh untuk membela diri.
Selain itu, tarikh itu juga bertujuan bagi mendapatkan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap tertuduh kelima, S Gopinaath, 34, untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini telah membebaskannya.
Gopinath sebelum ini telah didakwa pada 2021, empat tahun selepas kejadian.
Mohd Radzi berkata, tarikh itu ditetapkan untuk mengelakkan prosiding mahkamah berjalan berulang kali.
"Selepas mengambil kira kes mahkamah melibatkan tertuduh kelima, saya menetapkan tarikh untuk membela diri pada 17 hingga 25 November depan.
"Ia bagi mengelakkan mahkamah menjalankan prosiding berulang kali selain memanggil saksi pendakwaan yang sama berulang kali.
"Oleh itu, mahkamah akan menunggu keputusan kes tertuduh kelima di Mahkamah Rayuan untuk menjalankan prosiding bagi kelima-lima tertuduh serentak," katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 13 Januari lalu memerintahkan empat individu untuk membela diri atas pertuduhan asal membunuh Nhaveen di Pulau Pinang tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan dan melepaskan mereka pada 23 Oktober 2023.
Hakim Che Mohd Ruzima, yang bersidang bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat individu berkenaan.
Berdasarkan hujahan mengenai kematian Nhaveen, terdapat kekhilafan dalam dapatan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan mereka selepas didakwa secara bersama membunuh dan mencederakan Nhaveen.

Mahkamah turut memerintahkan keempat-empat individu tersebut untuk membela diri atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan Nhaveen, T Previin, yang berusia 19 tahun ketika itu.
Panel hakim juga mengembalikan semula kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi membolehkan keempat-empat lelaki tersebut membela diri.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari dan Yazid Mustaqim Roslan hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam R Thevan dan Maanveer Singh Dhillon mewakili kesemua tertuduh.
Kelihatan ibu kepada Nhaveen, D Shanty, 51, turut hadir bersama Pengerusi Liga Tindakan dan Siasatan Nhaveen, D Arun ketika prosiding berlangsung.
Pada 19 Jun 2017, lima tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen, 18.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Selain itu, kesemua tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Mereka turut didakwa menyerang rakan mangsa, Previin berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Bukit Gelugor antara jam 11 malam hingga tengah malam di lokasi dan hari yang sama.
Sebelum ini, media melaporkan, Nhaveen dan Previin telah dipukul oleh sekumpulan lelaki namun kedua-duanya berjaya melarikan diri untuk mendapatkan bantuan.
Nhaveen kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di padang bersebelahan Jalan Kaki Bukit di Bukit Gelugor.
Dia kemudiannya disahkan mati otak dan meninggal dunia akibat kecederaannya lima hari kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


