Kes bunuh Nhaveen: Tertuduh kelima didakwa di mahkamah

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan membunuh mangsa buli, T Nhaveen pada 9 Jun 2017.

S Gopinath, 30, tertuduh kelima didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor dekat sini.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh mengangguk tanda faham setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah memandangkan kes berkenaan di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan itu, Gopinath didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Majistret R Manomani menetapkan pada Jumaat sebagai tarikh sebutan semula kes dan pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan dan Farah Aimy Zainul Anwar.

Farah Aimy memberitahu mahkamah kes Gopinath akan dipindah ke Mahkamah Tinggi pada Jumaat dan tiada jaminan ditawarkan.

Pada 19 Jun 2017, empat tertuduh, J Ragesuthen, 18, dan S Gokulan, 18, serta dua lagi remaja lelaki pada masa itu, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen, 18. - Bernama

Artikel Berkaitan: