X

Kindly register in order to view this article
!

Sektor pelancongan dianggarkan rugi RM3.37 bilion

Muhyiddin
A
A

KUALA LUMPUR- Jumlah kerugian dialami sektor pelancongan akibat Covid-19 pada dua bulan pertama tahun ini dianggarkan sebanyak RM3.37 bilion, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan turut menganggarkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkurangan sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus bagi keseluruhan tahun 2020 iaitu penurunan sebanyak RM10.8 bilion hingga RM17.3 bilion mewakili pertumbuhan KDNK sebanyak 3.6 peratus hingga 4.0 peratus.

KDNK sebelum ini diunjurkan mencatat pertumbuhan sehingga 4.8 peratus.

Dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen malam ini, Muhyiddin menjelaskan penularan COVID-19 itu turut menyebabkan banyak pakej pelancongan dibatalkan sekali gus menjejaskan pekerja syarikat-syarikat penerbangan dan perhotelan.

Menurut Perdana Menteri, sektor yang paling teruk terjejas ialah pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana serta industri pengangkutan.

“Saya sedar bahawa langkah-langkah segera perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara khususnya rakyat.

“Untuk itu, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai oleh anda semua dengan segera,” jelas beliau.

Pada 27 Febuari lalu, Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan. - BERNAMA


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!