Trend tak mahu kahwin tapi normalisasi maksiat

Hentikan normalisasi maksiat sebelum ia jadi barah.
Hentikan normalisasi maksiat sebelum ia jadi barah.
A
A
A

DALAM kesibukan membina kemajuan negara, kita sering alpa memerhati kerosakan moral yang makin menghancurkan asas pegangan masyarakat.

Laporan terbaharu bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan menghidap HIV bukan sahaja mengejutkan, malah membuka mata kita bahawa gejala sosial ini bukan lagi kes terpencil. Angka sebenar mungkin jauh lebih besar daripada yang dilaporkan.

Lebih membimbangkan, semakin ramai anak muda hari ini memilih untuk hidup tanpa ikatan perkahwinan. Kononnya mahu bebas, tidak terikat dan mampu berdikari. Jika dilihat sepintas lalu, itu mungkin dianggap hak peribadi. Namun di sebaliknya, trend ini membuka ruang kepada hubungan luar nikah, seks bebas dan akhirnya menyumbang kepada penularan penyakit seperti HIV.

Hakikatnya, HIV dalam kalangan pelajar tidak muncul sekelip mata. Ia lahir daripada budaya pergaulan bebas, hiburan melampau, akses mudah kandungan lucah dan rakan sebaya yang membenarkan maksiat sebagai norma baharu.

Malangnya, ramai dalam masyarakat lebih selesa berdiam diri, takut ditegur sebagai kolot atau mengongkong. Sedangkan realitinya, inilah masalah besar yang menanti untuk meledak jika dibiarkan.

Trend enggan berkahwin bukan alasan untuk merelakan maksiat. Kos sara hidup dan cabaran kerjaya memang wujud, tetapi ia tidak boleh dijadikan tiket untuk menormalisasi zina.

Pendidikan seks mesti difahami sebagai pendidikan moral, bukan sekadar biologi. Didikan tentang maruah, tanggungjawab dan batas agama mesti bermula di rumah, diperkukuh di sekolah dan diteruskan di kampus.

Pihak universiti perlu proaktif, bukan sekadar mengadakan ceramah bermusim. Pusat kaunseling dan bimbingan mesti mendekati pelajar secara lebih berkesan. Masyarakat pula perlu berani menegur tanpa takut dilabel kuno.

Generasi hari ini adalah amanah masa depan. Jika kita terus membisu, kelak bukan hanya akhlak yang runtuh, tetapi maruah bangsa turut hilang.

Artikel Berkaitan:

Hentikan normalisasi maksiat sebelum ia jadi barah. Tegur, didik dan bimbinglah sebelum segalanya terlambat.

Pihak berkuasa juga perlu menggandakan usaha memantau dan mengekang aktiviti yang menyumbang kepada keruntuhan moral ini. Tindakan pencegahan yang tegas dan berterusan lebih berkesan daripada menangani akibat yang sudah parah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!