Laporan status cadangan reformasi institusi

Sembilan cadangan reformasi institusi dan perundangan telah dikemukakan sebelum ini melalui KRPPM-IGAR.
Sembilan cadangan reformasi institusi dan perundangan telah dikemukakan sebelum ini melalui KRPPM-IGAR.
A
A
A

RASUAH Busters selaku Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Integriti, Governans dan Anti Rasuah ingin menegaskan komitmen ahli Parlimen merentas parti, rakan-rakan serta pakar untuk memperjuangkan reformasi institusi melalui kumpulan ini.

Laporan ini bertujuan memberi gambaran asas serta pemakluman kemajuan terhadap cadangan reformasi institusi yang telah kami kemukakan.

Ia diharapkan menjadi mekanisme rujukan, pemantauan serta seruan kepada tindakan segera dan terperinci dalam memastikan pelaksanaan reformasi undang-undang yang efektif bagi menjamin Malaysia yang lebih baik.

Sembilan cadangan reformasi institusi dan perundangan telah dikemukakan sebelum ini melalui KRPPM-IGAR.

Kami percaya melalui libat urus proaktif bersama Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen (JKPK), masyarakat sivil, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama pihak-pihak berkepentingan, soalan di Parlimen dan Kamar Khas, kumpulan fokus, sesi perbincangan serta penerimaan dan kefahaman awam telah menyumbang kepada perkembangan positif cadangan-cadangan yang telah dikemukakan.

Oleh yang demikian, pihak Sekretariat mengalu-alukan perkembangan positif yang telah dicapai dalam fasa awal ini.

Komitmen dan iltizam politik yang ditunjukkan oleh kerajaan wajar dihargai sebagai langkah awal dalam memperkukuh integriti serta tatakelola pentadbiran negara.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut bukanlah suatu pencapaian yang sempurna dan selesa.

Masih terdapat ruang penambahbaikan bagi memastikan ia mencapai tahap yang lebih optimum agar implementasi reformasi yang dihasratkan dapat dilaksanakan menyeluruh dan lebih berkesan serta mencapai matlamatnya.

Artikel Berkaitan:

Secara umumnya laporan ini menunjukkan bahawa usaha ke arah mewujudkan sebuah Malaysia yang bebas rasuah, telus dan berintegriti sedang berlangsung.

Namun, usaha ini memerlukan kesedaran tinggi serta sokongan berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, komitmen politik yang lebih kukuh, kesegeraan, serta libat urus yang lebih efektif perlu diteruskan bagi memastikan reformasi yang telah dimulakan ini dilaksanakan tanpa kelengahan.

Justeru, Rasuah Busters mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama memantau perkembangan tersebut dan menyuarakan pandangan serta terlibat dalam memastikan negara terus bergerak ke arah sebuah sistem pemerintahan yang lebih adil, telus dan bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa.

Kepentingan cadangan reformasi

Reformasi institusi ini akan menjamin keterbukaan dan ketelusan dalam pentadbiran tanpa menjejaskan isu-isu sensitif berkaitan keselamatan negara sekali gus mencegah sebarang anasir rasuah.

RUU Perkhidmatan Parlimen

Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) ini pada 5 Mac 2025 merupakan satu pencapaian bersejarah yang memberikan autonomi kepada Parlimen dalam aspek pentadbiran dan kewangan.

Penggubalan Akta Perolehan

Cadangan dikemukakan bertujuan mewujudkan satu bentuk perundangan bagi mengawal selia proses perolehan kerajaan selain memperincikan kuasa-kuasa pihak berkepentingan di bawah Akta serta mewujudkan mekanisme semak dan imbang demi memastikan tatakelola baik serta memenuhi amalan terbaik antarabangsa.

Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711)

Pindaan ini penting untuk memastikan pemberi maklumat mendapat perlindungan penuh dan tidak berdepan tindakan balas akibat pendedahan mereka.

Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya

Ia menjamin keadilan dan kebebasan institusi daripada pengaruh eksekutif dan konflik kepentingan yang berisiko menyebabkan pendakwaan terpilih.

Penggubalan Akta Kebebasan Maklumat

Risiko salah guna kuasa, rasuah dan keputusan yang tidak berasas dapat dikurangkan apabila akses kepada maklumat lebih terbuka, sekali gus mendesak kebertanggungjawaban pemimpin politik dan pegawai awam dalam sebarang keputusan terutamanya yang melibatkan penggunaan dana awam.

Pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009

Pindaan akta ini akan memastikan ketelusan dalam pelantikan kehakiman yang menghalang risiko campur tangan eksekutif yang mampu menjejaskan kredibiliti institusi berkenaan.

Transformasi SPRM

Transformasi ini akan memperluas autonomi SPRM dan bertujuan mengawal risiko persepsi bahawa wujudnya pendakwaan terpilih serta proses pelantikan ketua pesuruhjaya dicadangkan menjadi hak prerogatif Parlimen.

Penggubalan Akta Pendanaan Politik

Akta ini akan menjamin pengawalan risiko rasuah melalui sumbangan atas niat mendapat timbal balas atau mendapatkan kontrak yang menyasarkan keuntungan mana-mana pihak yang berkepentingan peribadi.

Pelaksanaan Strategi Anti Rasuah Nasional

Pelaksanaan Strategi Anti Rasuah Nasional (NACS) merupakan dokumen rujukan terpenting kepada semua pihak berkepentingan. Ia bertujuan memastikan negara mencapai sasaran 25 tangga terbaik dunia dalam Corruption Perspective Index menjelang 2035.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!