Jual maruah demi wang: Isu moral yang kian parah

Laporan Sinar Harian mengenai sepasang suami isteri yang dicekup dipercayai terlibat kegiatan pelacuran dan mempromosi video lucah secara dalam talian melalui aplikasi media sosial.
Laporan Sinar Harian mengenai sepasang suami isteri yang dicekup dipercayai terlibat kegiatan pelacuran dan mempromosi video lucah secara dalam talian melalui aplikasi media sosial.
A
A
A

KERUNTUHAN moral dalam masyarakat kita pada masa kini semakin membimbangkan apabila ada individu sanggup menjual maruah sendiri, malah memperdagangkan pasangan demi wang.

Kes terbaharu melibatkan pasangan suami isteri yang menjadikan hotel sebagai lokasi pelacuran dan kandungan video lucah jelas menunjukkan nilai akhlak dan tatasusila semakin terhakis dalam mengejar kemewahan dunia.

Pasangan memiliki empat anak itu bukan sahaja terlibat dalam aktiviti pelacuran, malah turut menjual rakaman video lucah melalui saluran Telegram yang dipromosikan di platform media sosial.

Lebih mengejutkan, si suami pula bertindak sebagai pencipta kandungan dan ejen pelacuran kepada isterinya sendiri.

Pendapatan mereka dikatakan mencecah lebih RM6,000 seminggu dan jika dilihat daripada nilainya ia cukup besar.

Kes ini bukan luar biasa kerana pernah dilaporkan kes remaja perempuan menjadi pelacur sambilan demi membayar sewa rumah, wanita berkerjaya menjadi ‘sugar baby’, malah ada yang sanggup menjadikan anak sebagai pelakon lucah untuk tontonan tidak bermoral di luar negara.

Semua ini adalah bayangan bagaimana runtuhnya nilai moral masyarakat kita akibat pengaruh digital dan godaan wang.

Perbuatan jijik seperti ini bukan sekadar salah dari sudut undang-undang, tetapi turut mencemar imej Islam dan budaya ketimuran yang dijunjung junjung.

Sudah tiba masanya kerajaan menggubal hukuman lebih berat terhadap pesalah jenayah seksual dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Hukuman minimum lima tahun penjara, sebatan mandatori serta penyitaan semua harta yang diperoleh melalui aktiviti tidak bermoral ini perlu dilaksanakan tanpa kompromi.

Selain itu tindakan undang-undang, institusi agama dan pendidikan perlu lebih agresif memperkukuh nilai moral terutama dalam kalangan generasi muda. Kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab ini kepada polis dan mahkamah semata-mata.

Realitinya, jika masyarakat terus membiarkan budaya seumpama ini berleluasa, kita bakal menyaksikan lebih ramai yang sanggup menjual maruah diri dan keluarga semata-mata demi keselesaan hidup.

Ini bukan lagi soal jenayah semata-mata, tetapi amaran tentang kehancuran nilai kemanusiaan yang sedang berlaku di depan mata kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!