Histeria selepas bunuh bayi sendiri

MAKASSAR – Seorang ibu muda berusia 25 tahun mengalami histeria selepas dipercayai memukul bayi lelakinya yang berusia dua bulan dengan balang kaca, sehingga mengakibatkan kematian, dalam satu kejadian tragis di Kota Makassar, Sulawesi Selatan, malam Jumaat lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 malam waktu tempatan di kediaman mereka di Pampang 2, Lorong 5, Kelurahan Pampang, Kecamatan Panakkukang.
Menurut laporan Tribun Timur, suspek yang dikenali sebagai N, dikatakan bertindak agresif dan memukul kepala anaknya menggunakan balang kaca. Bayi malang itu sempat dikejarkan ke Hospital Ibnu Sina, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.
Saksi memaklumkan, ketika dibawa polis ke hospital, wanita itu dilihat menangis dan menjerit secara histeria sambil memeluk bayinya yang sudah tidak bernyawa, dipercayai akibat perbuatannya sendiri.
Ketua Polis Balai Panakkukang, AKP Aris Satrio berkata, siasatan awal mendapati terdapat elemen penderaan dan pembunuhan terhadap bayi tersebut.
Bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ibu mangsa.
“Keterangan suspek berubah-ubah. Pada awalnya, dia mengaku memukul kepala bayinya dengan balang kaca, tetapi kemudiannya memberikan kenyataan yang tidak konsisten,” katanya kepada media ketika ditemui di hospital berkenaan pada Sabtu.
Susulan itu, polis akan mendapatkan khidmat pakar psikologi bagi menilai tahap kesihatan mental dan emosi suspek ketika kejadian berlaku.
“Kami menerima maklumat awal yang menunjukkan kemungkinan wujud gangguan psikologi. Namun siasatan terperinci masih diteruskan,” ujarnya.
Jenazah bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Bhayangkara untuk proses bedah siasat, manakala suspek kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, kejadian itu terbongkar selepas nenek mangsa tampil membuat laporan polis. Kes berkenaan turut dikendalikan dengan kerjasama Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA).
Tragedi itu mencetuskan kesedihan dalam kalangan masyarakat setempat, apatah lagi suspek sebelum ini pernah memuat naik hantaran di media sosial yang menunjukkan kasih sayangnya terhadap bayi tersebut sebelum insiden menyayat hati ini berlaku. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

