SPRM mohon wang RM169 juta milik Ismail Sabri dilucutkan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah memfailkan permohonan untuk melucutkan lebih RM169 juta wang tunai milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada kerajaan Malaysia di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Ia membabitkan wang tempatan berjumlah RM14,772,150 manakala wang asing ialah SGD$6,132,350 (Dolar Singapura); AS$1,461,400 (Dolar Amerika) dan CHF 3 juta (Swiss Franc).
SPRM turut meminta wang tunai berjumlah €12,164,150 (Dolar Euro); ¥363,000,000 (Yen), £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600 (Dolar New Zealand) AED 34,750,000 (Emirati Dirham) dan AU$352,850 (Dolar Australia) dilucut hakkan.
Berdasarkan notis yang difailkan, SPRM selaku pemohon menamakan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, 58, dan Ismail Sabri, 65, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Pemohon membuat perkara itu mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas berpuas hati bahawa wang-wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri.
Ia berkait dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Pemohon turut meminta perintah-perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 25 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, semua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam 'safehouse' yang dikaitkan dengan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta.
Ahli Parlimen Bera itu juga berdepan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

