SPRM kesan wang haram dilabur Datuk Wira

Laporan Sinar Harian berkaitan Datuk Wira ditahan kes pengubahan wang haram RM75 juta.
Laporan Sinar Harian berkaitan Datuk Wira ditahan kes pengubahan wang haram RM75 juta.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan wang hasil penggubahan wang haram membabitkan seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Wira yang disembunyikan di akaun luar pesisir dan Labuan sebelum dilaburkan semula ke syarikat pelaburan tidak wujud dan pinjaman wang tidak berlesen.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati, pengarah syarikat terbabit didakwa mewujudkan syarikat penipuan pelaburan dengan mencari mangsa yang ingin melabur termasuk golongan orang kenamaan (VIP) sebelum diperdaya.

“Syarikat pelaburan itu mula diwujudkan sekitar 2018 selepas projek awal berkaitan fiber optik tidak dijalankan menggunakan wang yang diseleweng hasil pinjaman daripada bank terbabit.

"Suspek bukan sahaja mewujudkan syarikat pelaburan tidak wujud malah turut menubuhkan syarikat lain yang menawarkan pinjaman wang tidak berlesen,” katanya pada Jumaat.

Tambah sumber, siasatan awal SPRM juga mendapati pengarah syarikat itu turut memberi rasuah RM8 juta kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank bagi meluluskan pinjaman RM400 juta walaupun syarikatnya itu tidak memenuhi syarat.

Jelasnya, siasatan kini tertumpu pada tiga skop iaitu membabitkan penggubahan wang haram hasil pinjaman yang tidak dibayar semula, skim pelaburan tidak wujud dan hasilnya disembunyikan di akaun luar pesisir pantai dan menawarkan pinjaman tidak berlesen.

Kata sumber, SPRM juga sedang mengesan semula aliran wang terbabit yang ‘dilayer’ menggunakan proksinya termasuk wang rasuah yang diberikan kepada CEO bank terbabit.

“Lebih ramai saksi orang awam dan beberapa individu lain akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan reman empat hari sehingga 6 Julai untuk siasatan kes pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.

Artikel Berkaitan:

Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012 bagi kelulusan pembiayaan pinjaman berjumlah RM400 juta untuk sebuah projek pembangunan rangkaian fiber.

Pada 30 Jun 2025, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah mengeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sebelum membekukan 12 akaun bank termasuk akaun persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM400,000.

Kes disiasat di bawah kesalahan-kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!