Wajah sugul Isa Samad ke penjara

Mohd Isa dibawa menaiki kenderaan polis dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya ke Penjara Sungai Buloh pada Selasa.
Mohd Isa dibawa menaiki kenderaan polis dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya ke Penjara Sungai Buloh pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – Wajah sugul bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dirakam lensa kamera ketika kenderaan polis membawanya meninggalkan Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, menuju ke Penjara Sungai Buloh.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 77 tahun itu dibawa keluar pada jam 3.25 petang menaiki kenderaan polis jenis Honda City dengan dikawal beberapa anggota.

Beliau sempat melambaikan tangan kepada jurugambar media yang menyapanya.

Isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, serta anak-anak turut beredar sejurus bekas ahli politik berkenaan bertolak ke tirai besi.

Pada Selasa, Mohd Isa diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Persekutuan di sini atas sembilan kes rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian sebuah hotel.

Ini bermakna, bekas ahli politik berusia 77 tahun itu akan menyambut Ramadan dan Syawal di sebalik tirai besi.

Semasa prosiding, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Nordin Hassan mengarahkan Mohd Isa menjalani hukuman penjara selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan semula responden atas kesalahan terbabit.

Ketika membaca keputusan sebulat suara, Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berkata, panel mendapati keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas ahli politik itu adalah terkhilaf.

Katanya, selepas meneliti semua bukti, mahkamah mendapati penemuan hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur disokong oleh bukti dan selaras dengan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Mohd Isa selaku responden gagal menyangkal anggapan undang-undang di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, justeru rayuan pihak pendakwaan dibenarkan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu, manakala peguam M Athimulan dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat hadir mewakili responden.

Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Ringkasan AI

  • Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dibawa ke Penjara Sungai Buloh
  • Mohd Isa berusia 77 tahun dibawa keluar menaiki kenderaan polis
  • Beliau diperintahkan menjalani hukuman penjara enam tahun atas sembilan kes rasuah
  • Panel hakim memutuskan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya adalah terkhilaf
  • Pada 2021, dijatuhi hukuman 54 tahun dan denda RM15.45 juta, hukuman penjara berjalan serentak selama enam tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!