Rafizi perlu ambil iktibar kisah Tun M

TATKALA segelintir bekas menteri memilih untuk bersara daripada kancah politik dengan penuh wibawa, ada pula antara mereka yang mengambil jalan menyendiri dengan nada sinis dan kecewa.
Kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam program audio siar 'Yang Berhenti Menteri' baru-baru ini memperlihatkan satu sisi barangkali tidak dijangka daripada seorang tokoh reformasi yang dahulu gah melaungkan perubahan.
Bayangan untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa serta luahan kekecewaan terhadap budaya dalam parti sendiri, hanya menyerlahkan lagi hakikat bahawa seorang pejuang juga bisa letih bila idealismenya tidak diterima ramai.
Namun, berundur tidak harus disulami dengan rasa pahit yang menjadi rancangan audio siar peribadi. Apatah lagi jika perbincangannya lebih tertumpu pada keluhan peribadi berbanding idea bernas membina negara.
Rakyat hari ini mendambakan pemimpin yang tetap mampu mencambah hujah membina meskipun tanpa sebarang jawatan atau gelaran, bukan sekadar satu watak antagonis sekadar mengimbas nostalgia masa silam dengan nada kecewa.
Sebagai perbandingan, lihat sahaja bagaimana rancangan 'Keluar Sekejap', sebuah audio siar dikendalikan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan, dua tokoh muda yang juga ‘ditinggalkan’ oleh parti sendiri namun masih memilih untuk menyalurkan pandangan secara matang dan profesional.
Input-input sebegini yang sepatutnya boleh dicontohi Rafizi jika beliau benar-benar ingin menyumbang kepada wacana nasional, bukan sekadar melampiaskan rasa ‘terpinggir’.
Hakikatnya setiap pemimpin harus sedar, legasi bukan dibina ketika memegang kuasa semata-mata.
Lebih penting, rakyat mahu melihat bagaimana cara kita berundur. Pilihan untuk bersara daripada politik adalah hak peribadi, namun janganlah perkara itu dijadikan pentas menanam dendam atau menyiram kekecewaan.
Sebaliknya, keputusan untuk tidak lagi bergelar menteri boleh menjadi satu ruang untuk menyusun semula kekuatan, memperhalusi idea serta memperkukuh asas perjuangan yang lebih lestari.
Ambillah iktibar daripada kisah Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah dipecat daripada UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman kerana kelantangan bersuara, namun tidak menjadikan pemecatan itu sebagai noktah perjuangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
