GEM gesa semak kebocoran RM5 bilion setahun hasil negara

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menyemak semula kebocoran hasil negara akibat perdagangan haram yang dianggarkan mencecah RM5 bilion setahun sebelum melaksanakan sebarang kenaikan cukai.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Dr Armin Baniaz berkata, langkah menambah cukai tanpa menangani kebocoran sedia ada hanya akan membebankan rakyat yang sudah tertekan dengan kos sara hidup.
“Setiap kali kerajaan menaikkan cukai secara mendadak, semakin ramai pengguna beralih ke pasaran gelap sehingga menyebabkan pembayar cukai yang patuh menanggung beban yang lebih besar.
“Kita lihat ini berlaku dalam industri rokok, minuman manis dan terkini melalui perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan keperluan harian,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Hasil negara boleh ditingkatkan tanpa menekan rakyat sekiranya kerajaan bertindak tegas menangani aktiviti penyeludupan yang merugikan negara setiap hari.
Kerugian itu bersamaan RM15 juta sehari yang sepatutnya boleh digunakan membina hospital, menaik taraf sekolah dan membiayai projek infrastruktur rakyat.
Sebaliknya, sindiket penyeludupan terus bermaharajalela sedangkan perniagaan sah semakin tertekan dengan kenaikan kos dan dasar yang tidak seimbang.
Sementara itu, negara lain seperti Romania berjaya meningkatkan hasil cukai dengan menggunakan teknologi pemantauan digital yang dapat menjejak pergerakan barangan seperti rokok dan alkohol dari kilang hingga ke pengguna.
Langkah itu dilihat bukan sahaja meningkatkan pendapatan kerajaan, malah tidak menekan pengguna dan memberi masa kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri.
“Pertama, kenaikan cukai secara mendadak boleh menggalakkan pasaran gelap,” ulas Armin.
Tanpa teknologi moden, penguatkuasaan dijangka sukar dilaksanakan. Jika keadaan ini berterusan, negara berisiko terus kerugian berbilion ringgit yang sepatutnya dimanfaatkan untuk rakyat.
Sementara itu, terdapat cadangan agar kerajaan memberi tumpuan kepada sektor baharu seperti rokok elektronik (vape) yang kini masih tidak dikawal sepenuhnya meskipun pasaran domestiknya dianggarkan bernilai RM3 bilion setahun.
Melarang vape secara drastik dilihat bukanlah penyelesaian terbaik.
Sebaliknya, terdapat pandangan bahawa kerajaan perlu mewujudkan peraturan jelas dan sistem cukai eksais yang telus untuk memastikan negara dapat menjana hasil daripadanya.
United Kingdom contohnya berjaya mengimbangi keperluan kesihatan awam dengan pendapatan fiskal melalui kawal selia pasaran vape yang progresif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
