Kerajaan digesa kaji semula caj RM1 untuk pesakit luar

PUTRAJAYA - Kerajaan digesa untuk mengkaji semula caj rawatan RM1 kepada pesakit luar bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti awam.
Tokoh korporat terkemuka, Datuk Seri Idris Jala berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan sektor kesihatan awam negara terus mampan di samping negara sedang menuju ke arah masyarakat yang semakin menua.
"Hari ini, sebab utama kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi untuk penjagaan kesihatan ialah kerana kita tidak mengutip bayaran yang cukup untuk menampungnya.
"Itulah sebabnya standard perkhidmatan di hospital kerajaan merosot. Jadi, saya fikir adalah sangat penting kita mengkaji semula kadar caj secara berpatutan dengan mengambil kira inflasi," katanya menerusi rakaman yang disiarkan di saluran The Game of Impossible pada Ahad.
Menurutnya, kerajaan tidak pernah membuat perubahan caj walaupun satu sen sejak ia diperkenalkan.
"Lihatlah inflasi yang meningkat, caj perubatan dan doktor dikawal kerajaan.
"Kali terakhir kerajaan membuat perubahan pada tahun 1992 iaitu 30 tahun yang lalu. Secara jujurnya, kita perlu membuat penyesuaian," katanya.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut mencadangkan agar kerajaan menerima pakai Skim Insurans Nasional berasaskan pemusatan dana sebagai usaha menangani aspek kewangan dalam sektor kesihatan.
"Skim ini perlu diwajibkan untuk semua dan jika dilihat banyak negara lain telah melaksanakannya.
"Kita boleh mengambil amalan terbaik mereka bagi memastikan ia diurus dengan baik," katanya.
Tambah beliau, jika tiada tindakan diambil oleh kerajaan, kos penjagaan kesihatan akan terus meningkat.
"Cara kita melaksanakannya sekarang tidak mampan. Semua orang di Kementerian Kesihatan (KKM) setuju dengan perkara ini," jelas beliau.
Sebelum ini, pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Malina Osman menyifatkan caj rawatan RM1 bagi perkhidmatan kesihatan di premis kesihatan kerajaan dilihat sudah tidak lagi mampu menampung kos sistem kesihatan negara.
Skim pembiayaan kesihatan termasuk caj RM1 yang dikenakan di klinik kerajaan menjadi antara kandungan utama Kertas Putih Kesihatan dalam menambah baik sistem kesihatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

