Azmin kemuka usul tergempar, dakwa banyak isu kritikal tak terjawab dalam laporan letupan gas di Putra Heights

Mohamed Azmin (barisan dua, enam dari kanan) bergambar bersama perwakilan semasa Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Kuala Selangor pada Ahad.
Mohamed Azmin (barisan dua, enam dari kanan) bergambar bersama perwakilan semasa Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Kuala Selangor pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan beliau telah mengemukakan usul tergempar di bawah Peraturan Tetap 17(1) bagi membolehkan sidang DUN membahaskan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada Isnin.

Menurutnya, usul itu telah dihantar kepada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San pada Jumaat lalu bagi mendesak laporan penuh didedahkan dan membincangkan langkah-langkah lanjut susulan tragedi berkenaan.

Jelas Mohamed Azmin, pihaknya telah meneliti laporan yang dikeluarkan, namun banyak perkara kritikal tidak dijawab.

“Penduduk telah kemukakan bukti wujud jentera berat di tapak sebelum kejadian berlaku, tetapi tiada tindakan diambil?

“Apa sistem pemantauan digunakan PBT (pihak berkuasa tempatan) atau Petronas? Semua ini tidak dijelaskan,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Selangor di sini pada Ahad.

Mohamed Azmin turut mempersoalkan bagaimana kelulusan kerja korekan boleh diberikan di kawasan yang menempatkan saluran paip gas utama sedangkan laporan menyatakan punca insiden adalah tanah lembap.

“Kita ada dokumen yang menunjukkan kelulusan kerja korekan dikeluarkan. Soalnya, kenapa diluluskan sedangkan di bawahnya ada paip gas? Ini soal kecuaian dan mesti dijawab secara telus,” tegas beliau.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut mengeluarkan surat berkeliling untuk mengadakan taklimat tertutup kepada ADUN pada Isnin.

“Sepatutnya bincanglah dalam sidang DUN, bukan dalam bilik tertutup kerana ia soal kebertanggungjawaban dan keselamatan rakyat, tak sepatutnya sorok fakta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau turut memohon agar satu sidang khas diadakan di bawah Peraturan Tetap 10(3) yang membolehkan Menteri Besar memanggil persidangan khas atas isu-isu penting negara atau negeri.

“Rayuan juga telah dikemukakan di bawah Peraturan Tetap 18(1), satu fasal yang belum pernah digunakan di DUN Selangor.

“Mengikut aturan, ia perlu diputuskan sebelum sesi soal jawab bermula jam 10 pagi esok,” katanya.

Mohamed Azmin menjelaskan, insiden letupan itu menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan menggugat keyakinan terhadap keselamatan infrastruktur awam memandangkan jajaran saluran paip gas Petronas itu merentasi lebih 2,600 kilometer di seluruh negara.

“Kami akan bawa suara rakyat ini dalam Dewan dan kita tunggu apa keputusan Speaker esok (Isnin).

“Jika gagal dibahaskan, kita akan timbang langkah seterusnya dan tidak boleh berdiam diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa sidang DUN kali ini mungkin dipendekkan hanya kepada dua hari walaupun jadual asal menetapkan persidangan berlangsung dari 7 hingga 18 Julai.

“Setakat ini, hanya ada satu rang undang-undang berkaitan pengukuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan satu usul mengenai tabung amanah kilang haram.

“Mengapa tidak dibentangkan juga laporan insiden letupan gas yang jauh lebih mendesak?” soal beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!