Sidang DUN Selangor dijangka hangat isu letupan paip gas Putra Heights

SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bakal bermula Isnin ini dijangka membincangkan pelbagai isu penting dan strategik termasuk insiden letupan paip gas di Putra Heights serta pencapaian ekonomi negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sesi Taklimat Rang Undang-Undang dan Mesyuarat Pre-Council diadakan bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan bagi memastikan semua wakil rakyat bersedia sepenuhnya menghadapi persidangan akan datang.
“Taklimat ini penting untuk memastikan Ahli-Ahli Dewan (Undangan) Negeri bersedia sepenuhnya bagi membincangkan pelbagai isu dasar, pembangunan negeri serta kebajikan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menurut beliau, sidang kali ini dijangka menyentuh beberapa perkara strategik termasuk insiden letupan paip gas Putra Heights, kejayaan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor serta beberapa isu lain.
Terdahulu, insiden letupan paip gas di Putra Heights pada awal April lalu mencetuskan kebimbangan awam susulan dentuman kuat dan kebakaran besar yang memusnahkan beberapa kenderaan dan harta benda.
Walaupun ramai mangsa dilaporkan cedera, pihak polis dan Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada kematian berlaku dalam kejadian tersebut.
Namun, isu keselamatan infrastruktur utiliti bawah tanah dan prosedur pemantauan telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan.
Dalam pada itu, pencapaian KDNK Selangor yang terus mengukuh turut dijangka menjadi antara tumpuan utama sidang, khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi pasca pandemik serta daya saing negeri berbanding wilayah lain.
Amirudin turut memberi jaminan bahawa beliau dan seluruh pentadbiran negeri akan terus komited dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat serta menghormati proses semak dan imbang yang dijalankan oleh institusi DUN Selangor.
Sidang kali ini dijangka menjadi medan penting untuk kerajaan negeri menjelaskan pelbagai isu semasa dan dasar pembangunan kepada rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

