Laporan letupan Putra Heights gagal jelaskan punca, timbul tanda tanya baharu - Pas Selangor

Ab Halim (tengah) ketika sesi sidang media di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong pada Khamis.
Ab Halim (tengah) ketika sesi sidang media di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong pada Khamis.
A
A
A

SUBANG JAYA - Pas Selangor mempersoalkan laporan rasmi berkaitan insiden letupan paip gas di Putra Heights yang disifatkan bukan sahaja gagal memberikan penjelasan tuntas, malah menambahkan luka kepada mangsa serta mencetuskan pelbagai kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pakar teknikal.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, laporan berkenaan mendakwa punca kejadian adalah akibat tanah lemah di bawah struktur paip serta tekanan berulang, namun langsung tidak menyentuh bagaimana kerja tanah boleh berlaku dalam kawasan Right of Way (ROW) saluran paip tersebut.

Menurutnya, apabila ditanya mengenai kewujudan aktiviti kerja tanah di laluan paip, pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hanya memberikan jawapan umum dengan menyebut “faktor antropogenik” tanpa penjelasan konkrit.

“Sedangkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sehari sebelum kejadian jelas menunjukkan aktiviti kerja tanah sedang berlaku di lokasi tersebut,” ujarnya dalam pertemuan dengan wartawan di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong di sini pada Khamis.

Lebih mengejutkan katanya, kerja korekan tanah itu dilaksanakan oleh sebuah kontraktor yang kini sedang dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Ujarnya, perkara itu menimbulkan persoalan besar berhubung pemantauan serta kelulusan yang diberikan kepada kontraktor berkenaan.

Menurut beliau, Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), agensi di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [MBI] yang ditubuhkan sebagai pusat sehenti bagi pembangunan koridor utiliti, sepatutnya bertanggungjawab menyelaras kelulusan, mengawal selia kerja infrastruktur dan memastikan pematuhan peraturan oleh kontraktor.

“Namun, beberapa persoalan utama masih belum terjawab. Siapakah yang memberikan kelulusan kepada kontraktor yang sedang dalam tindakan tatatertib CIDB untuk menjalankan kerja korekan di kawasan berisiko tinggi?

“Mengapa tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pemaju dan kontraktor yang terlibat? Bagaimana laporan penyiasatan boleh menyatakan semua kerja mematuhi SOP sedangkan bukti menunjukkan sebaliknya?” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ab Halim berkata, lebih membimbangkan apabila Menteri Besar Selangor pada 30 April lalu memaklumkan bahawa audit dalaman sedang dijalankan terhadap Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan KUSEL untuk menyemak pematuhan prosedur operasi standard (SOP), namun sehingga kini laporan audit tersebut masih belum dibentangkan kepada umum.

“Apakah ini gambaran sebenar tahap keprihatinan dan ketelusan kerajaan negeri Selangor dalam menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat?

“Tiada pemaju dinamakan, tiada kontraktor didakwa dan akhirnya tanah serta paip yang dipersalahkan – elemen yang tidak mampu mempertahankan diri,” ujarnya.

Beliau berkata, insiden tersebut bukan sahaja mencerminkan kegagalan struktur infrastruktur, malah turut membongkar kelemahan dalam aspek tadbir urus, ketelusan dan integriti pentadbiran kerajaan Selangor.

Sehubungan itu, Pas Selangor menggesa agar satu siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan semula oleh badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan bagi mencari kebenaran serta memastikan keadilan buat mangsa dan seluruh rakyat Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!