MCA desak tubuh RCI, mangsa Putra Heights mahu kebenaran

SHAH ALAM - MCA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menyiasat secara menyeluruh tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, ia bagi membolehkan siasatan dibuat secara telus dan terbuka, susulan pengumuman tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak berkuasa hasil siasatan ke atas kejadian itu baru-baru ini.
Menurutnya, RCI itu mestilah terdiri daripada pakar-pakar bebas dalam pelbagai bidang termasuk undang-undang, kejuruteraan dan pengurusan bencana bagi memastikan hasil siasatan akhir boleh didedahkan secara umum.
“Kesimpulan NFA seolah-olah dibuat secara tergesa-gesa yang pastinya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan institusi negara.
“Apa yang rakyat mahu bukan sekadar satu kertas NFA tetapi kebenaran, kebertanggungjawaban dan keadilan.
“Jika siasatan sedia ada gagal menjawab persoalan penting, maka satu mekanisme siasatan yang lebih tinggi dan berautoriti mesti diwujudkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Selasa, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa kes insiden letupan saluran gas Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku 1 April lalu diklasifikasikan sebagai NFA buat masa ini.
Jelasnya, siasatan yang dijalankan tidak menemui sebarang unsur yang menunjukkan terdapat unsur jenayah atau sabotaj.
Tambah Lawrence, tragedi itu mengakibatkan lebih 80 rumah musnah dan ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal namun pengumuman keputusan NFA itu mengejutkan serta menimbulkan kemarahan dan rasa kecewa dalam kalangan mangsa dan rakyat.
“Beberapa kumpulan penduduk dari kawasan bencana telah tampil bersuara, mempersoalkan ketelusan laporan dan menuntut siasatan semula serta penubuhan satu jawatankuasa bebas. Ini adalah satu bencana yang melibatkan keselamatan awam.
“Daripada keseluruhan 2,680 kilometer paip gas asli di seluruh negara, berapa banyak lagi ‘bom jangka’ yang tersembunyi di bawah rumah rakyat?” tegasnya.
Justeru, MCA mencadangkan beberapa tindakan segera termasuklah mendedahkan laporan siasatan teknikal dan forensik sepenuhnya serta menubuhkan pasukan pakar geologi dan geoteknikal bagi menganalisis keadaan tanah, laluan letupan serta struktur paip.
Selain itu, mewujudkan mekanisme sokongan undang-undang kepada mangsa untuk membantu mereka menuntut pampasan dan perlindungan perundangan.
“Kita juga mahu kerajaan menubuhkan platform dialog kawasan bencana yang diselaras oleh Jabatan Perdana Menteri untuk mempertemukan Petronas, kerajaan tempatan dan wakil mangsa.
“Seterusnya, mewujudkan sistem maklumat bantuan yang telus, memaparkan secara terbuka status pembinaan semula dan pampasan setiap rumah mangsa untuk mengelak kekaburan maklumat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

