Langgar syarat tauliah: MAIS tak akan berkompromi

Mohammad Fahmi
Mohammad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengingatkan semua pemegang tauliah mengajar agama di negeri itu supaya mematuhi syarat yang ditetapkan atau berdepan risiko tauliah digantung dan ditarik balik.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri masih menerima aduan berhubung penyalahgunaan tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), terutama di masjid-masjid.

Beliau berkata, antara aduan yang diterima termasuk pemegang tauliah masih memegang jawatan dalam parti politik, tidak berakhlak mulia serta menyampaikan ucapan berbaur kebencian terhadap kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

“Ada juga yang membangkitkan isu-isu yang boleh menimbulkan syak wasangka dan permusuhan antara kaum serta golongan penduduk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, Peraturan 14(1) di bawah Peraturan-peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 telah menetapkan bahawa pemegang tauliah mestilah beragama Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bermastautin di Selangor, tidak memegang jawatan dalam mana-mana parti politik serta bukan anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Negeri.

“Peraturan ini penting bagi memastikan masjid tidak menjadi medan propaganda politik atau mencetuskan perpecahan sebagaimana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor 2023,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Jawatankuasa Tauliah MAIS tidak akan teragak-agak menggantung atau menarik balik tauliah sekiranya terdapat aduan berasas dan terbukti benar.

Katanya, orang awam digalakkan membantu kerajaan negeri menyalurkan maklumat terhadap pendakwah yang melakukan kesalahan sehingga melanggar syarat tauliah seperti diperuntukkan dalam Peraturan 22 peraturan sama.

“Semakan pendakwah bertauliah boleh dibuat menerusi laman sesawang https://etauliah.mais.gov.my dan sebarang aduan boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 1800-882424,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Fahmi turut menggesa para pendakwah agar sentiasa komited untuk berakhlak mulia dan menjauhkan diri daripada politik kepartian.

“Mereka yang tidak bersedia memberikan komitmen ini disarankan agar tidak memohon tauliah. Tauliah MAIS adalah satu tanggungjawab, bukan kelebihan yang boleh diguna pakai sesuka hati,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!