33 penumpang bas disaman tidak pakai tali pinggang keledar

Hamidi (tengah) ketika menjalankan pemeriksaan melibatkan bas dalam Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Plaza Tol Gombak pada Rabu.
Hamidi (tengah) ketika menjalankan pemeriksaan melibatkan bas dalam Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Plaza Tol Gombak pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 33 penumpang bas disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar dalam operasi khas dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Plaza Tol Gombak pada Rabu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kesalahan itu dikesan menerusi Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang dijalankan sejak 1 Julai lalu melibatkan pemeriksaan terhadap 44 bas, merangkumi 41 bas ekspres dan tiga bas persiaran.

Beliau berkata, operasi khas berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan penumpang terhadap pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang sentiasa dipatuhi.

"Daripada jumlah bas yang diperiksa, seramai 33 penumpang dikenakan kompaun kerana tidak memakai tali pinggang keledar semasa dalam perjalanan.

"Dua notis kesalahan turut dikeluarkan kepada pengusaha bas kerana gagal menyediakan tali pinggang keledar yang berfungsi di tempat duduk penumpang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hamidi berkata, operasi itu selaras Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) (Pindaan) 2019, yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang bagi semua bas dibina mulai 1 Januari 2020, kecuali bas henti-henti.

Katanya, tiga kes turut membabitkan penumpang bawah umur 18 tahun yang diberikan nasihat serta advokasi oleh anggota penguat kuasa di lokasi pemeriksaan.

"Penumpang bertanggungjawab memastikan mereka memakai tali pinggang keledar.

"Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja melanggar undang-undang malah membahayakan keselamatan diri dan penumpang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, penumpang boleh dikenakan kompaun maksimum RM300, manakala pengusaha bas yang gagal menyediakan tali pinggang boleh dikenakan tindakan serupa.

Menurutnya, tindakan mahkamah juga boleh diambil bagi kesalahan berulang yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

"JPJ menggesa penumpang untuk membuat aduan jika mendapati bas tidak menyediakan tali pinggang keledar yang lengkap dan berfungsi.

"Aduan boleh disalurkan melalui aplikasi MyJPJ e-Aduan atau emel ke aduantrafik@jpj.gov.my dengan menyertakan butiran lengkap bas dan lokasi," katanya.

Jelas beliau, pengusaha bas pula bertanggungjawab memastikan semua tempat duduk penumpang dilengkapi tali pinggang keledar dan mengingatkan penumpang supaya memakainya sebelum perjalanan bermula.

"Maklumat keselamatan juga perlu disampaikan dalam bentuk audio, visual atau melalui pengumuman oleh pemandu atau kru," katanya.

Hamidi berkata, JPJ akan terus mempergiat usaha advokasi dan kempen kesedaran awam melalui media sosial, infografik serta kerjasama dengan pengusaha bas dan pengurusan terminal.

"Semua pihak sama ada penumpang, pengusaha dan penguat kuasa perlu berganding bahu dalam mewujudkan sistem pengangkutan yang selamat dan berdisiplin

"Pematuhan terhadap undang-undang bukan sekadar tuntutan peraturan tetapi satu komitmen terhadap nilai kehidupan,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!