109 penumpang bas dikompaun tak pakai tali pinggang keledar

JOHOR BAHRU - Seramai 109 penumpang bas ekspres dan bas persiaran dikenakan kompaun selepas dikesan tidak memakai tali pinggang keledar dalam operasi khas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor selama dua hari bermula Selasa.
Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Abidin berkata, melalui Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar, sebanyak 675 buah bas ekspres dan persiaran di seluruh negeri diperiksa bagi memastikan pematuhan peraturan pemakaian tali pinggang keledar.
Menurut beliau, kegagalan memakai tali pinggang keledar seperti ditetapkan peruntukan undang-undang boleh dikenakan kompaun berjumlah RM300.
"Ops khas tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan Kaedah 4 dan 4A, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008 serta Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
"Hasil pemeriksaan tersebut, sejumlah 109 notis JPJ(P)22 telah dikeluarkan kerana kegagalan memakai tali pinggang keledar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, JPJ Johor tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik, pemandu serta penumpang yang masih tegar melanggar undang-undang.
“Penguatkuasaan serta tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan bertolak ansur sesama pengguna demi keselamatan bersama.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan aduan secara terus atau masa nyata menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my beserta butiran lengkap,” katanya.
Untuk rekod, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa 1 Julai.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu.
Pemandu, enam penumpang bas disaman tidak pakai tali pinggang keledar
KUANTAN – Seorang pemandu bas ekspres bersama enam penumpang termasuk tiga warga asing disaman selepas didapati tidak memakai tali pinggang keledar dalam kejadian pada Selasa lalu.
Bas yang dipandu lelaki berusia 50 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan ketika dalam perjalanan dari Terminal Sentral Kuantan (TSK) menuju Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Unit Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berkata, hasil pemeriksaan mendapati selain pemandu, enam penumpang berusia antara 30 hingga 40 tahun turut dikenakan saman kerana gagal mematuhi peraturan tersebut.
Menurut kenyataan itu, pada hari pertama operasi khas berkenaan, sebanyak 64 bas diperiksa di seluruh negeri dan 12 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
"Fokus utama pemeriksaan adalah terhadap pemasangan dan kelengkapan tali pinggang keledar bagi bas yang dibina mulai 1 Januari 2020, kecuali bas henti-henti.
"Turut diperiksa ialah pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang bas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, pemandu dan penumpang bas yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika dalam perjalanan akan dikenakan saman.
"Pihak JPJ mengingatkan semua pemandu dan penumpang bas agar sentiasa mematuhi peraturan dengan memastikan semua kenderaan dilengkapi sistem tali pinggang keledar yang berfungsi dengan baik.
"Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ dalam memastikan semua kenderaan mematuhi piawaian keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan maut di jalan raya," jelasnya.
Menurut JPJ, tiada alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan sewajarnya demi memastikan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
