Rimas dan tak biasa alasan ingkar pakai tali pinggang

SEREMBAN – “Tidak biasa” dan “rimas” antara alasan yang diberikan oleh beberapa penumpang bas ekspres dan persiaran yang dikenakan tindakan dalam Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, seramai tujuh penumpang berusia 19 tahun ke atas telah dikenakan kompaun dalam operasi yang dijalankan di Terminal One, Seremban selama dua hari bermula Selasa lalu.
Menurut beliau, sikap sambil lewa terhadap pemakaian tali pinggang keledar boleh mendatangkan risiko tinggi sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
“Pemakaian tali pinggang keledar sangat penting kerana ia boleh menyelamatkan nyawa serta mengurangkan risiko kecederaan parah.
"Peraturan ini telah berkuat kuasa sejak tahun 2020, di mana JPJ mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar seperti yang termaktub dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan,” katanya pada sidang akhbar sempena operasi berkenaan, pada Rabu.
Beliau berkata, Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar dilaksanakan secara serentak di seluruh negara selama sebulan bermula 1 hingga 31 Julai 2025, susulan peningkatan insiden kemalangan membabitkan bas yang menyebabkan kecederaan dan kematian.
Tambahnya, operasi ini memberi tumpuan kepada dua aspek, iaitu pemeriksaan kelengkapan tali pinggang keledar pada bas ekspres dan persiaran yang dibina atau didaftarkan mulai 1 Januari 2020, serta penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar oleh semua pemandu dan penumpang.
Setakat ini, Hanif Yusabra berkata, JPJ Negeri Sembilan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 45 buah bas.
“Selain kaedah sekatan jalan raya dan pemeriksaan di terminal, JPJ turut melaksanakan kaedah penyamaran bagi meningkatkan tahap pematuhan.
“Dua pasukan melibatkan enam anggota akan melakukan penyamaran sekurang-kurangnya dua kali seminggu sepanjang tempoh operasi,” katanya.
Tambah beliau, penguatkuasaan dibuat mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
“Saya minta semua pengusaha bas, pemandu dan penumpang supaya sentiasa memastikan pemakaian tali pinggang keledar semasa dalam perjalanan.
“Ia langkah mudah tetapi sangat penting demi keselamatan bersama,” tegasnya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

