Sikap ambil mudah penumpang bas boleh undang padah

SHAH ALAM - Tak biasa dan rimas adalah dua alasan ringkas tetapi berisiko besar.
Itulah antara jawapan yang diterima oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan ketika menahan beberapa penumpang bas ekspres dan bas persiaran dalam Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang dijalankan di Terminal One, Seremban selama dua hari bermula Selasa lalu.
Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, seramai tujuh penumpang berusia 19 tahun ke atas telah dikenakan kompaun kerana gagal memakai tali pinggang keledar walaupun peraturan itu diwajibkan ke atas semua penumpang di tempat duduk belakang.
Apa yang menghairankan, peraturan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang belakang bukan perkara baharu.
Ia telah termaktub dalam undang-undang sejak tahun 2009, namun tahap pematuhan masih rendah, terutamanya dalam pengangkutan awam.
Masalah utama bukan ketiadaan peraturan, tetapi sikap.
Alasan seperti rimas dan tak biasa menunjukkan bahawa masih ramai yang tidak mengambil serius soal keselamatan diri sendiri, apatah lagi keselamatan bersama.
Dalam bas ekspres yang bergerak laju merentasi lebuh raya, sebarang kemalangan boleh menyebabkan penumpang tercampak hanya kerana tidak memakai tali pinggang keledar.
Situasi ini membuka satu lagi persoalan besar adakah pendidikan keselamatan jalan raya benar-benar meresap ke dalam minda rakyat Malaysia?
Walaupun pelbagai kempen, poster dan peringatan sudah dijalankan bertahun-tahun, namun hasilnya tetap mengecewakan.
Ramai yang masih memandang remeh tali pinggang keledar seolah-olah ia sekadar aksesori tambahan, bukan alat penyelamat nyawa.
Kajian dan statistik jelas menunjukkan bahawa pemakaian tali pinggang keledar boleh mengurangkan risiko kematian hingga 45 peratus dalam kemalangan jalan raya.
Dalam hal ini, pengusaha bas dan syarikat pengangkutan awam juga tidak boleh lepas tangan.
Adakah mereka benar-benar memastikan semua tali pinggang keledar berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan?
Adakah pemandu mereka mengingatkan penumpang tentang kewajipan tersebut sebelum perjalanan bermula?
Langkah memasang pelekat peringatan atau membuat pengumuman ringkas mengenai pemakaian tali pinggang keledar sebelum bas bergerak boleh menjadi satu permulaan mudah tetapi berkesan.
Keselamatan bukan hanya tanggungjawab penguat kuasa malah ia juga tanggungjawab bersama.
Kita tidak boleh terus membiarkan sikap acuh tak acuh ini berleluasa.
Tali pinggang keledar bukan pilihan, ia adalah keperluan dan dalam bas terutama bagi perjalanan jauh, ia boleh menjadi pemisah antara hidup dan mati.
Operasi JPJ ini sepatutnya menjadi peringatan keras kepada semua pihak termasuk pengguna, pengusaha bas dan pembuat dasar, undang-undang tanpa pematuhan adalah sia-sia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

