JPJ menyamar penumpang bas kesan kesalahan tidak pakai tali pinggang keledar

Azrin menemu bual penumpang semasa pelaksanaan operasi tali pinggang keledar di R&R Dengkil, pada Rabu.
Azrin menemu bual penumpang semasa pelaksanaan operasi tali pinggang keledar di R&R Dengkil, pada Rabu.
A
A
A

SEPANG – Kaedah penyamaran sebagai penumpang bas dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bagi mengesan penumpang dan pemandu yang tidak memakai tali pinggang keledar.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, inisiatif ini bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan pengguna perkhidmatan bas.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada modus operandi penguatkuasaan, JPJ Selangor akan menumpukan pemeriksaan di terminal utama, hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya utama serta di kawasan tumpuan pelancong.

Azrin (kanan) melakukan pemeriksaan bas di R&R Dengkil, pada Rabu.
Azrin (kanan) melakukan pemeriksaan bas di R&R Dengkil, pada Rabu.

“Pegawai penguat kuasa akan menjalankan pemeriksaan secara rawak bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang dan pemandu,” katanya dalam sidang akhbar Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di R&R Dengkil, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, operasi pada hari pertama, iaitu Selasa, telah melibatkan pemeriksaan terhadap 56 bas ekspres dan 23 bas persiaran di Selangor.

Katanya, tahap pematuhan penumpang di negeri ini berada dalam keadaan memuaskan.

Jelasnya, operasi khas ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan keselamatan penumpang bas sentiasa berada di tahap tertinggi.

Artikel Berkaitan:

“Operasi ini bertujuan untuk memastikan tahap keselamatan penumpang dalam perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya bas, dapat dipertingkatkan selaras dengan kehendak undang-undang serta piawaian keselamatan jalan raya di Malaysia,” ujarnya.

Tegasnya, pengusaha bas dan pemandu juga perlu mengambil tanggungjawab dengan memberi peringatan kepada penumpang supaya memakai tali pinggang keledar.

Menurut beliau, Kaedah 2A(b), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978, mewajibkan bas yang dibina pada atau selepas 1 Januari 2020 dipasang dengan tali pinggang keledar mengikut spesifikasi yang ditetapkan, kecuali bas henti-henti.

“JPJ Selangor sentiasa komited dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kecederaan parah atau kematian akibat kemalangan melibatkan kenderaan awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya. Jadilah ‘mata’ JPJ dengan melaporkan sebarang aduan berkaitan lalu lintas melalui aplikasi MyJPJ,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!