KPS Berhad ACT-I Jelajah Antirasuah: Menyuntik nilai integriti dalam sektor pendidikan, korporat

KULAI - [DIKEMAS KINI] Usaha memperkasa budaya integriti dalam kalangan masyarakat terus dipergiat menerusi Program KPS Berhad ACT-I Jelajah Antirasuah anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) bersama Rasuah Busters, anak syarikat KPS Berhad dan institusi pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, sesi ceramah dan perkongsian ilmu kepada pelajar sekolah dilaksanakan secara berperingkat di beberapa lokasi.
"Kita menggunakan pendekatan interaktif ketika berinteraksi bersama lebih 600 pelajar SMK Tunku Abdul Rahman Putra bagi menyampaikan mesej berkaitan pembentukan jati diri sebagai pemimpin masa depan.
"Kita tekankan aspek tanggungjawab, cara berinteraksi dengan rakan sebaya serta kemampuan mengurus tekanan dalam dunia digital masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program KPS Berhad ACT-I Jelajah Antirasuah, di sini, Rabu.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, walaupun golongan remaja dilihat matang kerana keterbukaan kepada dunia media sosial, mereka masih perlu dibimbing untuk memahami makna sebenar tanggungjawab.
Tambah beliau, selain pelajar, program itu turut melibatkan sesi khas bersama anak syarikat KPS Berhad iaitu Toyoplas Manufacturing (M) Sdn Bhd.
Antara perkara yang menjadi fokus utama dalam program ini adalah mengenai cabaran budaya kerja, manipulasi terhadap pematuhan serta tekanan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Toyoplas, Andrew Soo Hoo, menyifatkan sesi perkongsian bersama #RasuahBusters sebagai satu permulaan penting dalam membentuk budaya kerja berintegriti dalam kalangan warga korporat.
Menurutnya, usaha membina persekitaran kerja yang sihat akan membantu syarikat mempromosi keadilan serta memberi peluang saksama kepada semua pihak.
“Saya rasa hari ini Puan Nurhayati menyampaikan kata-kata yang sangat mengagumkan, sangat relevan dan praktikal. Ia membantu membentuk budaya kerja dan pendekatan seimbang, sekali gus memupuk amalan antirasuah secara menyeluruh.
“Sesi ini merupakan langkah awal, kita akan teruskan dengan beberapa siri lain selepas ini untuk memperkukuh lagi mesej yang disampaikan dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

