Astro rancakkan kempen Cakap Baik-Baik, usaha pupuk budaya baik - Menteri Perpaduan

Euan (lima dari kiri) dan wakil Astro ketika pertemuan bersama Aaron (empat dari kanan) baru-baru ini.
Euan (lima dari kiri) dan wakil Astro ketika pertemuan bersama Aaron (empat dari kanan) baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Cakap Baik-Baik akan diperhebatkan dengan sokongan penuh daripada Astro Malaysia Holdings Bhd bagi memastikan budaya komunikasi berhemah terus diterapkan dalam masyarakat.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa memaklumkan, Astro menyatakan komitmennya untuk merancakkan kempen berkenaan dengan memanfaatkan platform televisyen dan radio bagi menyebarkan mesej perpaduan serta keharmonian.

“Pihak Astro turut kesal dengan kejadian yang telah berlaku di Era FM dan menyatakan komitmen untuk memupuk nilai-nilai murni dalam industri penyiaran selaras aspirasi Kementerian dalam memupuk elemen Faham, Hormat serta Terima.

Aaron (tengah) mengadakan perbincangan bersama pihak Astro.
Aaron (tengah) mengadakan perbincangan bersama pihak Astro.

“Pihak Astro juga akan membantu merancakkan lagi kempen Cakap Baik-Baik sebagai usaha untuk memupuk budaya dan amalan baik dalam kalangan masyarakat di platform TV serta Radio,” katanya.

Komitmen itu dinyatakan Astro ketika pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia, Euan Daryl Smith bersama Aaron baru- baru ini.

Sebelum ini, tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Radin, dan Azad Jasmin terlibat dalam kontroversi selepas video mereka yang didakwa mempersenda ritual suci agama Hindu tular di media sosial.

Video tular tersebut memaparkan salah seorang penyampai meniru tarian kavadi sambil menyebut 'Vel Vel', diiringi gelak tawa rakan-rakannya, yang dianggap tidak menghormati masyarakat Hindu.

Susulan itu, ketiga-tiga penyampai tersebut memohon maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan mereka.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa yang sama, pihak pengurusan Astro Audio telah menggantung tugas mereka sementara siasatan dalaman dijalankan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka kertas siasatan selepas menerima enam laporan polis berkaitan isu tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!