Iftar Perdana Family of Charity kukuh perpaduan, tanam nilai wasatiyyah dalam generasi muda

KUALA LUMPUR – Nilai kesederhanaan (wasatiyyah) perlu diterapkan dalam kalangan generasi muda bagi membentuk sikap keterbukaan dan saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa penerapan nilai ini penting bagi memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan elemen ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian negara.
"Kita perlu menolak segala bentuk ekstremisme, perkauman sempit, dan sikap fanatik yang boleh merosakkan keamanan yang kita nikmati hari ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus terus berusaha memperkukuhkan keharmonian negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amal Iftar Perdana Persatuan Sinaran Hidup yang berlangsung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, malam tadi.
Majlis ini menghimpunkan lebih 400 penerima manfaat, termasuk anak-anak asnaf, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, dan golongan rentan. Ia bukan sekadar acara berbuka puasa tetapi juga menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan masyarakat.

Hadir sama, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail serta Yang Mulia Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din. Kehadiran mereka menambah kemeriahan majlis yang penuh dengan nilai kasih sayang dan kebersamaan ini.
Sementara itu, pengasas Family of Charity, Datuk Shariffah Maznee Al Altas Syed Noor Osman turut menyampaikan sumbangan keperluan asas, makanan dan duit raya kepada para penerima bantuan sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Majlis ini dianjurkan Persatuan Sinaran Hidup dengan kerjasama pelbagai rakan strategik, termasuk Yayasan Taqwa, Mohd Chan Group, Two Sons Bistro, Yakult, Adabi, KK Mart Sdn Bhd, Bio Care Sdn Bhd, dan Koka Glico Sdn Bhd, yang menjadi penyumbang utama program.
Dalam pada itu, Aaron turut menekankan bahawa perpaduan bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi memerlukan usaha bersama daripada NGO, ibu bapa, guru, dan pemimpin masyarakat dalam membentuk generasi yang menghormati kepelbagaian.
"Keluarga adalah institusi pertama yang membentuk nilai dan pemikiran generasi muda. Kita semua harus memahami antara satu sama lain dan menerima kepelbagaian yang ada bagi membentuk negara yang bersatu padu," ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa wasatiyyah adalah benteng utama dalam membendung perpecahan dan menolak fahaman ekstremisme.
Majlis ini sekali lagi membuktikan bahawa nilai kebersamaan, kasih sayang, dan keprihatinan mampu merentasi sempadan kaum dan agama, selari dengan aspirasi perpaduan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

