Kelantan pantau tahap kandungan besi, mangan dalam air bawah tanah

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk melihat tahap bahaya kandungan besi (Fe) dan mangan (Mn) yang tinggi dalam air bawah tanah di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya mengambil serius perkara itu jika ia memberikan kesan tidak baik pada kesihatan.
"Kalau ada benda tu (kandungan besi dan mangan) kita kena lihat sama ada merbahaya untuk kesihatan rakyat.
"Jika ada tindakan segera kena ambil dengan kerjasama pihak kesihatan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, kira-kira 600,000 penduduk Kelantan yang menggunakan air telaga dan telaga tiub berisiko menghadapi masalah kesihatan akibat kandungan Fe dan Mn yang tinggi dalam air bawah tanah.
Kajian menunjukkan paras Fe di Bachok dan Kota Bharu mencecah 3.79 mg/L manakala Mn sebanyak 0.76 mg/L – jauh melebihi piawaian Kementerian Kesihatan iaitu masing-masing 0.3 mg/L dan 0.1 mg/L.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah berusaha sebaik mungkin meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk kesejateraan rakyat.
"Setakat ini AKSB telah membuat pelbagai langkah untuk menaik taraf perkhidmatan.
"AKSB juga telah banyak capai kemajuan dan beberapa perkara masih lagi dalam tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

