RM22,250 menanti pemancing di Pantai Senok

KOTA BHARU – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM22,250 menanti peserta pertandingan memancing Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT) yang akan berlangsung di Pantai Senok, dekat sini Sabtu ini.
Pertandingan anjuran Kelab Pemancing Pantai Barat (WCS) sempena Tahun Melawat Malaysia itu menawarkan hadiah utama RM10,000 kepada juara, RM2,000 bagi naib juara manakala tempat ketiga membawa pulang RM1,000.
Selain itu, pemenang tempat keempat hingga ke-60 turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai antara RM150 hingga RM600 setiap seorang.
Setiausaha WCS, Sharudin Adnan berkata, ini merupakan penganjuran kali ketiga JJPT di Pantai Senok sejak diperkenalkan pada 2024.
“Tidak banyak pertandingan memancing diadakan di Kelantan, mungkin kerana kedudukannya yang jauh di utara Pantai Timur.

“Namun dalam dua penganjuran sebelum ini pada 2023 dan 2024, sambutan diterima amat menggalakkan khususnya daripada pemancing Pantai Timur.
“Malah, ada juga peserta dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang sanggup turun ke Pantai Senok untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.
Menurut beliau, kaunter pendaftaran akan dibuka seawal jam 7 pagi di lokasi pertandingan dan peserta bebas memancing di kawasan pantai sepanjang 1.5 kilometer yang telah ditetapkan.
Pertandingan dijadual berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, tertakluk kepada carta pasang surut air laut.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM70 bagi satu joran dan peserta dibenarkan memenangi lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan.
Pantai Senok sememangnya terkenal sebagai lubuk pelbagai spesies ikan termasuk pari, ketuka, duri, mayong, jenahak dan erong belang.
Ringkasan AI
- Hadiah wang tunai keseluruhan RM22,250 untuk peserta pertandingan memancing Jelajah Joran Pantai Timur di Pantai Senok
- Hadiah utama RM10,000 untuk juara, RM2,000 untuk naib juara, dan RM1,000 untuk tempat ketiga
- Pemenang tempat keempat hingga ke-60 juga memenangi wang tunai RM150 hingga RM600
- Ini adalah penganjuran ketiga JJPT di Pantai Senok sejak diperkenalkan pada 2024
- Pertandingan memancing ini mendapat sambutan menggalakkan, termasuk peserta dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
