PGA, UPNP serbu kilang besi haram disyaki beroperasi atas tanah kerajaan

KUANTAN - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya mengesan kegiatan memproses besi yang beroperasi di sebuah bengkel besi haram disyaki atas tanah milik kerajaan di Taman Saga, Bentong, Rabu lalu.
Hasil serbuan Op Bersepadu itu, pemilik dan penyelia kilang berusia 52 tahun bersama lima pekerja warga Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan.
"Hasil pemeriksaan ke atas bengkel ini membawa kepada penemuan ratusan batang besi yang siap diproses dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut.

"Anggaran nilai rampasan mencecah RM520,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen," katanya seperti kenyataan yang dikongsi di Facebook Briged Tenggara PGA.
Menurut kenyataan itu lagi, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan memproses besi haram dari terus berleluasa di dalam negara ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

