Selagi tiada tembok sempadan, penyeludup tetap lolos - Polis Kelantan

KOTA BHARU - Isu penyeludupan dan kemasukan keluar masuk secara haram di sempadan Kelantan hanya dapat diselesaikan sepenuhnya melalui pembinaan tembok atau pagar keselamatan, meskipun penutupan pangkalan haram dilakukan sejak Disember 2024 berjaya mengurangkan kegiatan itu sehingga 95 peratus.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, baki lima peratus cubaan pencerobohan masih berlaku kerana wujudnya ruang terbuka di sepanjang laluan sempadan yang belum mempunyai kawalan fizikal sepenuhnya.
Menurutnya, sepanjang 136 kilometer (km) laluan dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Jeli, hanya 46km dikawal dengan kehadiran pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan 17 pos, menyebabkan jarak antara setiap pos mencecah lebih dua kilometer.
“Ruang-ruang inilah yang diambil peluang oleh penyeludup. Selagi tidak bina tembok atau pagar keselamatan, selagi itulah cubaan pencerobohan tetap berlaku walaupun kita perketatkan kawalan.
“Kita boleh guna teknologi seperti dron dan AI (kecerdasan buatan), tetapi faktor fizikal sempadan itu sendiri masih menjadi cabaran utama,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Mohd Yusoff memberitahu, keadaan menjadi lebih kritikal semasa musim kemarau apabila paras air sungai menjadi cetek sehingga membolehkan individu menyeberang sempadan hanya dengan berjalan kaki.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan isu kemasukan dadah juga menunjukkan penurunan ketara apabila nilai rampasan pada tahun 2025 mencatat penurunan sehingga 121 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ini membuktikan kawalan sempadan yang kita laksanakan berkesan, namun penyelesaian jangka panjang tetap memerlukan pembinaan tembok atau pagar keselamatan,” katanya.
Tambahnya, bajet pembinaan tembok atau pagar keselamatan sempadan telah diluluskan, dan kini berada dalam fasa proses pengambilan tanah sebelum projek berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Selagi struktur fizikal keselamatan tidak dibina, isu ini akan terus berulang walaupun kita berjaya mengurangkannya,” katanya.
Ringkasan AI
- Penyeludupan di sempadan Kelantan hanya dapat diselesaikan sepenuhnya melalui pembinaan tembok atau pagar keselamatan
- Penutupan pangkalan haram sejak Disember 2024 berjaya mengurangkan kegiatan penyeludupan sehingga 95 peratus
- Ruang terbuka di laluan sempadan masih membolehkan cubaan pencerobohan berlaku kerana ketiadaan kawalan fizikal sepenuhnya
- Penggunaan teknologi seperti dron dan AI masih tidak dapat mengatasi cabaran utama tanpa struktur fizikal seperti tembok atau pagar keselamatan
- Bajet untuk pembinaan tembok atau pagar keselamatan telah diluluskan dan kini dalam fasa proses pengambilan tanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

