Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman tidak berperlembagaan, kemenangan rakyat - Amir Hariri

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, yang berkaitan dengan keperluan memberikan notis untuk himpunan aman, adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan itu dibuat oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tunku Maimun Tuan Mat.
Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi berkata, selepas tiga tahun yang panjang, kemenangan akhirnya berpihak kepadanya dan rakyat Malaysia.
“Kami hanya menggunakan hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk berhimpun secara aman.
“Namun, kemenangan ini tidak boleh menutup kegagalan kerajaan, khususnya dalam menyelesaikan banyak skandal termasuk skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS).
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemerintah harus bersiap sedia kerana selagi mereka tidak bertindak membawa perasuah dan penyangak ke muka pengadilan, selagi itu perlawanan akan digerakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.
Amir Hariri didakwa sebagai penganjur kerana gagal memaklumkan kepada pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini pada jam 2 petang, 14 Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Amir Hariri kemudian mencabar kesahihan peruntukan akta berkenaan.
Pada Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya untuk merujuk persoalan perlembagaan mengenai APA 2012 ke Mahkamah Persekutuan.
Tambah Amir Hariri, skandal LCS menjadi antara topik utama kempen yang digerakkan oleh Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang akhirnya membawa kepada pembentukan kerajaan Madani.
“Yang menyedihkan, selepas menjadi kerajaan, walaupun dengan segala tuduhan yang dilemparkan sepanjang kempen, termasuk hampir RM800 juta yang diseleweng, hanya dua orang yang didakwa.
“Yang pertama, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard (BNS) dan kedua saya sendiri.
“Bekas Pengarah BNS diberikan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) awal tahun ini, dan yang masih turun naik mahkamah kerana isu LCS ini hanya saya seorang, walaupun Anwar berjanji ‘akan ada jerung yang akan didakwa’,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

