Sindiket seludup rokok, minuman keras seludup, rampasan lebih RM4 juta

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga asing antara lima individu diberkas dalam serbuan di stor serta premis kegiatan penyeludupan, pengedaran rokok serta minuman keras disyaki tidak berkastam di sekitar Kuching, Sarawak pada Isnin.
Serbuan mencatatkan rampasan lebih RM4 juta itu dijalankan menerusi Op Taring 1 dan Op Taring 2 menerusi risikan utama, Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, lima suspek yang diberkas itu berusia 19 hingga 30 tahun bersama keseluruhan rampasan berjumlah RM4,028,022.22.
"Antara yang dirampas melibatkan 31,740 liter minuman keras, 280,000 batang rokok putih dan 6,000 batang rokok kretek disyaki tidak berkastam.
"Turut dirampas sebuah lori jenisToyota Dutro bersama anak kunci, sebuah lori jenis Isuzu bersama anak kunci dan sebuah lori Hino bersama anak kunci," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, kegiatan ini mampu mengancam keselamatan sempadan negara sekiranya tidak dibanteras.
"Kegiatan penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok dan minuman keras tidak berkastam adalah salah satu ancaman terhadap ekonomi dan pendapatan negara.
"Tindakan serta siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Azmi berkata, seramai 233 orang berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi 153 serbuan dijalankan WCB/PSK Jabatan KDNKA Bukit Aman di seluruh negara sejak 1 Januari lalu.
"Antara kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.
"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM433,351,837.61 bagi tempoh berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

