Sindiket minuman keras, rokok seludup kecundang, rampasan cecah RM10.5 juta

Antara rampasan dibuat polis menerusi Op Taring 1 dan 2 di Kuching, Sarawak. (Gambar kecil: Azmi)
Antara rampasan dibuat polis menerusi Op Taring 1 dan 2 di Kuching, Sarawak. (Gambar kecil: Azmi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras tumpas dengan rampasan bernilai RM10.5 juta menerusi serbuan di Kuching, Sarawak pada Rabu.

Op Taring Alpha 1 dan 2 dijalankan secara serentak di dua lokasi berasingan melibatkan stor serta premis oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi itu berjaya menahan tiga lelaki membabitkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 64 tahun.

Menurutnya, serbuan di lokasi pertama merampas 648 liter minuman keras disyaki tidak berkastam, 90,000 batang rokok putih, 51,200 batang rokok kretek, sebuah telefon bimbit dan serangkai anak kunci rumah.

"Serbuan kedua pula merampas sebanyak 4,190,000 batang rokok putih, 24,320 batang rokok kretek, sebuah van Toyota Hiace, sebuah telefon bimbit serta serangkai anak kunci rumah.

“Aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok serta minuman keras tidak berkastam merupakan salah satu ancaman terbesar terhadap ekonomi dan sumber pendapatan negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambahnya, sekiranya kegiatan ini tidak dibanteras, ia mampu mengancam keselamatan sempadan negara.

Dalam pada itu, Azmi memaklumkan bahawa WCB/PSK JKDNKA telah melancarkan sebanyak 155 serbuan di seluruh negara sejak Januari hingga 2 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 236 orang ditahan melibatkan pelbagai kesalahan, antaranya penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste, dengan nilai rampasan berjumlah RM443.85 juta," ujarnya.

Jelasnya, kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada PDRM juga amat digalakkan bagi memastikan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!