Lelaki warga asing ditemukan cedera parah di parkir hospital

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditemukan cedera parah di kawasan parkir sebuah hospital di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan insiden itu daripada seorang Penolong Pegawai Perubatan hospital berkenaan pada jam 8.56 malam.
“Semasa lelaki itu bertugas, pada jam lebih kurang 5.20 petang, dia telah menerima seorang pesakit lelaki warga asing yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.
"Mangsa telah dibawa oleh sebuah ambulans dari parkir bertingkat hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sulizmie Affendy berkata, hasil pemeriksaan pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa mengalami kecederaan patah tulang rusuk kanan dan luka di bahagian kepala, namun tiada keretakan pada tempurung kepala.
“Mangsa berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di hospital itu,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan mencederakan dengan senjata.
“Kes masih dalam siasatan dan tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa atau kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Pang Wei Keong di talian 013-208 2391 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, Deputi Superintendan Rosdi M. Husin di talian 013-392 0694,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
