Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0: 19 saksi dirakam keterangan

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan 19 individu bagi membantu siasatan berkaitan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 di ibu kota, pada Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kekecohan ketika himpunan itu.
"Kita telah merakam keterangan 19 individu membabitkan 11 saksi polis diikuti pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (empat orang) dan wartawan (dua orang)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Ahad, media melaporkan seorang anggota polis cedera selepas terbabit dalam pergelutan ketika cuba mengawal situasi dalam himpunan itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku ketika tindakan pencegahan diambil ke atas peserta perhimpunan kira-kira jam 4.30 petang.
Katanya, ia susulan daripada insiden seorang peserta membakar suar hingga menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta, petugas keselamatan dan orang awam berdekatan.
Pihak polis mengambil tindakan pencegahan untuk memastikan asap dari suar itu tidak merebak.
Semasa tindakan pencegahan diambil berlaku sedikit pergelutan antara peserta perhimpunan dan petugas Op Aman sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang anggota polis.
Pergelutan itu berjaya dileraikan oleh pihak polis. Terdapat tiga laporan polis dibuat. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 14 akta yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
