Himpunan Benci Rasuah: Orang ramai mula berkumpul, suasana terkawal

KUALA LUMPUR – Peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 mula berhimpun di pekarangan sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Sabtu, sebagai tanda solidariti menentang rasuah dalam pentadbiran negara.
Himpunan 2.0 berkenaan dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) bersama persatuan mahasiswa dari beberapa universiti tempatan, dengan matlamat meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan membanteras rasuah.
Peserta dilihat mula berkumpul sekitar jam 2 petang di hadapan pusat beli-belah terbabit sebelum bersiap sedia untuk berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati suasana masih terkawal walaupun semakin ramai orang awam mula memenuhi kawasan berkenaan yang dijadikan lokasi permulaan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0.
Seawal jam 1.30 tengah hari, kumpulan peserta dilihat hadir secara berperingkat dalam kelompok kecil, sebahagiannya berpakaian hitam dan membawa sepanduk dengan mesej antirasuah.
Beberapa pengunjung sekitar, termasuk peniaga dan pelancong tempatan, turut memerhati pergerakan peserta dengan tenang dan rasa ingin tahu.
“Saya kerja berniaga di sini hari-hari. Bila dengar ada himpunan, memang ada rasa risau sikit. Tapi setakat ini semua nampak aman,” kata Zainol Rahman, 45, peniaga aksesori yang berniaga berdekatan lorong ke Masjid India.
Seorang lagi pengunjung, Nur Aina Rosli, 29, yang hadir membeli-belah bersama keluarga, menyatakan sokongan terhadap mesej yang dibawa oleh peserta walaupun tidak menyertai himpunan tersebut.
“Saya tak ikut serta, tapi faham kenapa mereka turun. Rasuah memang dah jadi penyakit negara. Harap tak ada kekecohan,” katanya.
Pihak polis turut dilihat mengawal lalu lintas dan memantau keadaan di beberapa laluan utama sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan kehadiran anggota beruniform serta pegawai berpakaian biasa.
Setakat jam 2.30 petang, keadaan kekal terkawal dengan peserta mula bergerak secara berperingkat menuju ke Dataran Merdeka seperti yang dirancang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

