Program TVET MCI@RISDA perkasa kemahiran belia desa

SEPANG - Seramai 25 peserta terdiri daripada 23 pelajar dan dua pensyarah Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) berlepas ke China pada Ahad bagi menyertai Program Latihan TVET Antarabangsa MCI@RISDA yang dianjurkan Kolej RISDA Sdn Bhd dan Malaysia-China Institute (MCI).
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dalam bidang pertanian moden dan memperkukuh kompetensi pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pendedahan antarabangsa.
Menurutnya, peserta yang terlibat merupakan kumpulan pertama akan menjalani program selama 10 hari di Kolej Vokasional dan Teknikal Anshun, Wilayah Guizhou, China.
“Program ini bukan sekadar latihan teknikal, tetapi juga menjadi wahana pembentukan jati diri, kemahiran insaniah dan jaringan global.
“Ia turut memperkukuh agenda kita untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan TVET di peringkat serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelepasan Peserta Program Latihan TVET Antarabangsa MCI@RISDA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Ahad. Turut hadir Ketua Eksekutif Kolej RISDA, Muhamad Mahathir Abdul Rahim dan Rektor UCAM, Rossly Salleh.
Mengulas lanjut, menurut Manndzri, antara pengisian utama program termasuk latihan dalam pemprosesan teh, teknologi florikultur, penggunaan dron dalam pertanian, penternakan unggas pintar, pemprosesan dan pengedaran produk pertanian serta kelas seni pastri Cina.
Tambahnya, pelajar turut berpeluang melawat Muzium Budaya AgriPerternakan dan berinteraksi secara langsung dengan pelajar tempatan.
“Kursus induksi selama lima hari turut diadakan di UCAM sebelum peserta berangkat ke China, bagi memastikan mereka bersedia dari segi aspek budaya, keselamatan, etika dan persiapan akademik sepanjang menjalani program di sana.
“Sementara itu, baki seramai 105 pelajar lagi dijadualkan akan dihantar secara berperingkat ke dua lagi institusi latihan di China, iaitu Anshun Vocational College dan Fujian Vocational College of Agriculture dalam masa terdekat,” ujarnya.
Manndzri berkata, kerjasama dua hala telah membuka potensi besar ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) jangka panjang antara UCAM dan institusi pendidikan di China, seterusnya memperluas jaringan strategik dalam pendidikan TVET.
Jelasnya, program itu mampu menyokong aspirasi Desa Madani yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam memperkasakan kemajuan desa di seluruh negara.
Beliau berkata, penghantaran kumpulan peserta seterusnya akan dilaksanakan selepas semua urusan pemuktamadan dengan pihak berkuasa pendidikan di China diselesaikan oleh rakan pelaksana program iaitu Belia Mahir dan Tang International Education.
“Ini adalah usaha strategik UCAM dalam membuka laluan global kepada pelajar TVET. Kami yakin apabila kesemua kumpulan telah dihantar, impaknya akan cukup besar terhadap pembangunan modal insan dalam sektor pertanian dan teknologi negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
