Umat Islam di Malaysia mula puasa pada Ahad

Petugas Jawatankuasa Cerapan Anak Bulan melakukan cerapan untuk melihat anak bulan ketika Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
Petugas Jawatankuasa Cerapan Anak Bulan melakukan cerapan untuk melihat anak bulan ketika Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam di seluruh negara akan mula berpuasa pada Ahad, iaitu 2 Mac 2025.

Tarikh tersebut diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.

Beliau berkata, tarikh itu ditetapkan bagi negeri-negeri di seluruh negara mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Syed Danial mengumumkan tarikh penting itu secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada petang Jumaat, 28 Februari bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijriah.

Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.

Turut menjadi tempat cerapan anak bulan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Di Perak, lokasinya di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung; Pulau Pinang (Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh) serta Kedah (Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar).

Lokasi lain ialah di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah; dan di Pahang melibatkan Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands serta Menara Kuantan 188 juga menjadi lokasi melihat anak bulan.

Turut terlibat adalah di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!