Guru rugi RM890,000 terpedaya panggilan 'scammer'

GEORGE TOWN - Seorang guru wanita mengalami kerugian sebanyak RM890,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai wakil bank dan pegawai polis.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 59 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Isnin selepas menyedari telah diperdaya sindiket terbabit.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 10 Mei lalu ketika mangsa berada di rumahnya di sini.
Mohd Alwi menambah, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya wakil daripada sebuah bank tempatan.
“Suspek memaklumkan kononnya terdapat penyalahgunaan kad kredit atas nama mangsa, namun mangsa menafikan memiliki kad tersebut.
"Panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis dari Balai Polis Johor.
“Pegawai palsu itu mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan meminta mangsa menyerahkan kesemua wang miliknya untuk tujuan audit siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohd Alwi lagi, suspek turut memberi jaminan wang berkenaan akan dipulangkan selepas siasatan selesai, selain mengugut akan mengeluarkan waran tangkap sekiranya mangsa enggan berbuat demikian.
"Kerana takut, mangsa telah melakukan sebanyak 27 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke 23 akaun bank berbeza dari 19 Mei hingga 5 Jun lalu dengan jumlah keseluruhan RM890,000.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas menceritakan kejadian kepada rakannya sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan terutama yang melibatkan permintaan maklumat peribadi atau butiran perbankan.
“Jangan mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang menyamar sebagai pegawai polis atau wakil institusi kewangan. Jika menerima panggilan sedemikian, jangan panik dan jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi.
“Semakan nombor telefon atau akaun bank yang meragukan boleh dibuat melalui portal Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my atau hadir ke balai polis berdekatan. Sekiranya menjadi mangsa, segera hubungi pihak bank atau talian hotline NSRC 997 dan buat laporan polis,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

