Pengurus kilang rugi RM300,000 terpedaya cinta palsu

Seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus analisis di sebuah kilang mengalami kerugian RM300,000 selepas diperdaya sindiket penipuan cinta atau love scam.
Seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus analisis di sebuah kilang mengalami kerugian RM300,000 selepas diperdaya sindiket penipuan cinta atau love scam.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus analisis di sebuah kilang di sini mengalami kerugian RM300,000 selepas diperdaya sindiket penipuan cinta atau love scam.

Mangsa berusia 45 tahun itu mendakwa mengenali seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai warga Amerika Syarikat bernama Richard Ming Li yang dikenalinya melalui Facebook tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek memberitahu mangsa kononnya dia seorang usahawan teknologi maklumat yang menjalankan perniagaan di sebuah negara di utara tanah air.

"Mangsa mula berkenalan dengan suspek pada November 2024 dan menjalinkan hubungan cinta secara dalam talian menerusi aplikasi WhatsApp.

“Selepas sebulan berkenalan, suspek memaklumkan akaun bank miliknya disekat dan memohon bantuan kewangan daripada mangsa kononnya untuk membayar urusan penghantaran stok perniagaannya.

“Suspek berjanji akan memulangkan wang tersebut serta memberi bayaran tambahan sebagai tanda penghargaan,” katanya pada Jumaat.

Menurut Mohd Alwi, mangsa yang sudah terjerat dengan hubungan cinta palsu itu membuat 16 transaksi ke lima akaun bank tempatan berjumlah RM300,000 dalam tempoh tiga hari iaitu 12 hingga 14 Disember tahun lalu.

"Mangsa mula sedar dirinya ditipu apabila suspek terus meminta wang untuk menampung perbelanjaan kononnya mahu datang ke Malaysia bertemu mangsa, namun tersilap langkah apabila menghantar gambar pasport yang jelas kelihatan diubah suai.

"Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semalam (Khamis). Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Alwi mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan hubungan romantis dalam talian serta berhati-hati dengan pelbagai taktik sindiket penipuan siber.

“Love scam bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan yang besar, malah memberi kesan emosi mendalam dan trauma berpanjangan kepada mangsa.

“Elakkan berkongsi maklumat peribadi atau kewangan dengan kenalan siber, walaupun mereka dilihat mesra atau berjanji dengan kata-kata manis.

"Gunakan kemudahan seperti fungsi ‘reverse image search’ untuk menyemak identiti mereka,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama semua pihak penting bagi membanteras jenayah dalam talian yang semakin berleluasa, selain menyebarkan kesedaran mengenai modus operandi sindiket kepada keluarga dan masyarakat.

“Setiap individu perlu memainkan peranan sebagai penyampai mesej kesedaran jenayah komersial agar kita dapat membentuk komuniti yang selamat dan bebas daripada ancaman scammer,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!