Perak jamin perlombongan NR-REE tak jejas alam sekitar

Saarani (tengah) menunjukkan Buku Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Pelan Perak Sejahtera 2030 selepas membentangkannya di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini pada Isnin.
Saarani (tengah) menunjukkan Buku Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Pelan Perak Sejahtera 2030 selepas membentangkannya di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini pada Isnin.
A
A
A

LENGGONG - Kerajaan Perak memberi jaminan perlombongan bahan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang akan diproses di negeri ini tidak menjejaskan alam sekitar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang proses tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Menurutnya, kaedah mengekstrak bahan mineral tersebut tidak akan mengulangi kesan perlombongan bijih timah sebelum ini.

"Insya-ALLAH kita akan mula mendapat kebenaran rasmi daripada kerajaan Persekutuan untuk membolehkan kita mula mengusaha hasil NR-REE sebab NR-REE ini tidak boleh dijual secara mentah. Kita sudah merangka pembangunan dari pembangunan huluan, pertengahan dan juga hiliran.

"Sebab itu kaedah kita mengekstrak tak boleh lagi korek atau open cut. Sekarang kita pakai sistem baru iaitu In-Situ Leeching hanya dengan memasukkan bahan kimia. Jadi mana tidak timbul soalan kita bimbang berlaku lombong tinggal macam perlombongan bijih timah yang kita ada," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Pelan Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini pada Isnin.

Saarani berkata, kaedah perlombongan baharu itu tidak akan menjejaskan hutan simpan kerana pokok tidak akan ditebang semasa proses tersebut berlaku.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak akan membenarkan sebarang proses perlombongan NR-REE tersebut jika ia menjejaskan alam sekitar.

Sementara itu, Saarani menjelaskan kerajaan negeri sedang mengorak langkah ke arah meningkatkan hasil melalui perlombongan NR-REE tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Hampir keseluruhan negeri ini akan ada hasil yang kita boleh ekstrak keluar NR-REE. Kita pun dah ada makmal kita sendiri dan berkolaborasi dengan ahli akademik. Jadi kalau kerajaan Persekutuan setuju, kita akan ada lagi satu aktiviti pertengahan.

"Kita akan mencari pelabur kilang untuk menghasilkan produk-produk akhir daripada NR-REE termasuk magnet, bateri EV (kenderaan elektrik) dan pelbagai. Dulu bijih timah menjadi sumber kekayaan negeri, kali ini NR-REE akan menjadi sumber kekayaan negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!