Kerajaan Perak harap KIGIP siap 2028

TAIPING - Kerajaan Perak berharap pelaksanaan Projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dapat disegerakan susulan isu kecil berhubung kerja-kerja penambakan tanah berpaya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek mega yang dikendalikan sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi SD Guthrie Bhd (SD Guthrie) itu perlu disiapkan pada 2028.
Menurut beliau, KIGIP berada di bawah pemantauan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala kerajaan negeri membantu mudah cara dari segi tanah dan kelulusan kebenaran merancang (KM).
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia mesti disempurnakan pada penghujung tahun 2028, bermakna mereka perlu segerakan walaupun apa pun halangan.
"Difahamkan ada sedikit masalah kerana ada keperluan untuk menambak tanah berpaya yang dikatakan sangat dalam dan mereka perlu mendapatkan bukit bagi kerja-kerja penambakan itu.
"Baru-baru ini saya dimaklumkan mereka (SD Guthrie) akan berkolaborasi dengan Gamuda Berhad (Gamuda) kerana ada kepakaran mengeringkan air seperti dilakukan di Belanda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang Green Excel Manufacturing Sdn Bhd di Kamunting di sini pada Sabtu.

Tambah Saarani, dengan kerjasama itu pihaknya berharap masalah berkaitan tanah itu dapat diselesaikan.
"Seperti dijanjikan apabila siap tahun 2028 bermakna tahun 2029, ia akan mula dibuka kepada pelabur.
"Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee Loh dan rakan-rakan InvestPerak memaklumkan, kekangannya mana-mana pelabur yang datang, mereka hendak lihat tapak itu sudah siap," katanya.
Saarani turut menekankan kepentingan mempercepatkan pemindahan air dari Sungai Perak ke loji rawatan air (LRA) di utara negeri itu.
"Pemindahan air ini bukan sahaja penting untuk keperluan pertanian dan menghantar bekalan air terawat ke Pulau Pinang.
"Ia juga penting untuk kegunaan KIGIP berikutan kilang-kilang berkaitan hab sektor elektrikal dan elektronik (E&E) ini juga memerlukan banyak air," katanya.
KIGIP merupakan perancangan kerajaan yang berteraskan kepada kaedah kerjasama awam swasta (PPP) untuk membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, Perak, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Kedudukan yang strategik iaitu berdekatan dengan hab E&E di Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di Kedah, KIGIP akan melengkapi ‘spillover demand’ kepesatan industri tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
