Ziarah kubur mengingatkan kematian, bukan tempat menambah dosa

WALAUPUN sudah tiga minggu berlalu tetapi kubur Allahyarham Nurly Sahirah Azman, 23, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan bas persiaran di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu masih tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.
Rumah keluarga arwah pun jadi tumpuan. Memang sesak sungguh kalau lihat pada video yang dikongsi di media sosial.
Ramai datang sebab nak tengok naskhah al-Quran ditulis oleh arwah, yang juga seorang hafizah.
Namun, yang tak seronoknya apabila tujuan menziarahi dah ‘tersasar’ kerana ada mendakwa, segelintir individu telah mengambil tanah kubur arwah untuk dibawa pulang, ada yang mencium batu nisan dan ada juga menyapu tanah kubur ke muka anak mereka.
Ada juga yang datang sekadar nak buat content semata-mata. Buat live di kubur, di simpang jalan dan di rumah arwah. Inilah yang Merak Jalanan kesalkan.
Amalan menziarahi kubur sememangnya digalakkan dalam Islam. Sepatutnya kubur menjadi satu destinasi yang menginsafkan, bermuhasabah diri dan mengingatkan kita kepada kematian untuk bersedia menempuh alam kekal abadi.
Malangnya ada pula manusia jahil yang menjadikan kubur sebagai medan khurafat untuk menjauhi makna kematian.
Merak Jalanan kasihan dengan keluarga arwah yang terpaksa pula ambil langkah pasang tali pengadang di pusara arwah bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini, selain ada rondaan juga pada waktu malam.
Nasihat Merak Jalanan kepada yang nak datang ziarah, jagalah adab dan janganlah melakukan perkara bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Memadailah kisah Allahyarham Nurly Sahirah kita jadikan inspirasi dan pengajaran agar istiqamah dalam kebaikan, bukannya asbab atau taasub untuk melakukan sesuatu yang menjejaskan akidah.
Baliklah dengan hati yang ingat akhirat, bukan pulangnya dengan poket penuh tanah kubur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
