Nurly Shahirah bukti kejayaan ibu bapa bentuk anak cintai al-Quran

PASIR PUTEH – Kisah Allahyarhamah Nurly Shahirah Mohd Azmi wajar dijadikan contoh nyata kejayaan ibu bapa dalam membentuk anak menjadi permata al-Quran dengan hala tuju yang jelas.
Penegasan itu disuarakan Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang menekankan bahawa tanggungjawab mendidik anak bukan semata-mata terletak di bahu guru, sebaliknya bermula dari rumah.
Beliau yang juga Profesor Adjung Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, ibu bapa ialah guru pertama yang menerima tauliah daripada Allah untuk membimbing amanah itu sejak lahir.
“Kalau cikgu, perlu ke kolej, ke universiti untuk jadi guru. Tapi ibu bapa, sejak anak lahir, ALLAH dah beri tauliah untuk jadi pendidik,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-29 Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, di sini pada Ahad.
Turut hadir, Guru Besar SK Bukit Jawa 2, Nor Azizah Harun dan Yang Dipertua PIBG SK Bukit Jawa 2, Muhammad Saifullah Ali.

Menurut Muhammad Nasir, beliau sendiri berpeluang bertemu ibu bapa Nurly Shahirah minggu lalu dan mendengar sendiri kisah daripada bapa arwah mengenai bagaimana kesungguhan pasangan itu mengenalkan anak mereka kepada al-Quran, selain semangat daripada Allahyarhamah sendiri.
“Mereka rancang dari awal, ada hasrat nak anak jadi ustazah dan mereka bimbing ke arah itu.
"Hantar pula ke Sekolah Menengah Imtiaz yang menjadikan al-Quran sebahagian daripada kurikulum dan jelas menentukan hala tuju ke arah hafiz al-Quran,” ujarnya.
Nurly Shahirah, 23, penuntut jurusan Pendidikan Khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), merupakan antara 15 penuntut universiti itu yang maut selepas bas persiaran dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan tragis di Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Tegas Muhammad Nasir, perkara asas dalam pendidikan anak-anak juga adalah amalan harian yang perlu dilaksanakan secara konsisten dan bukan sekadar harapan.
“Solat, al-Quran dan infak ialah tiga perkara asas. Kita kena jadikan al-Quran sebagai prosedur operasi standard kehidupan harian dengan harapan untuk masuk syurga sekeluarga.
“Ia mesti dilakukan oleh ibu bapa dan anak-anak juga perlu diajar untuk melaksanakannya setiap hari supaya mereka berada di landasan yang betul,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak terlalu bergantung kepada guru, sebaliknya menjalin hubungan rapat dengan anak dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang.
“Kalau boleh tiap pagi sebelum anak ke sekolah, peluk mereka dan beritahu: ‘Mama sayang kamu dan nak kamu berjaya’.
"Kata-kata kecil seperti ini mampu memberi kesan besar dalam jiwa mereka,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan kisah Nurly Shahirah sebagai pedoman penting kepada masyarakat.
“Ini contoh permata al-Quran yang berjaya dibentuk.
"Anak ialah amanah, jangan dipandang ringan. Acuan mereka bermula daripada ibu bapa, jangan sewenang-wenangnya lepas tangan,” katanya.
Sementara itu, majlis berkenaan dihadiri hampir 250 ibu bapa murid dan 87 kakitangan SK Bukit Jawa 2 termasuk 51 guru.
Muhammad Nasir turut mengumumkan pemberian senaskhah al-Quran kepada setiap ibu bapa dan warga SK Bukit Jawa 2.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!