'Saya masih trauma, tiga rakan baik meninggal dunia'

KUALA TERENGGANU – “Saya nak lupakan, tapi masih trauma. Sekarang mudah terkejut dan masih terbayang-bayang pengalaman ngeri ketika kemalangan.”
Itu luahan Wan Nor Masyitah Wan Hussin, 21, salah seorang mangsa terselamat dalam tragedi kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Isnin lalu yang meragut nyawa 15 pelajar lain.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia kini dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Lahar, Gong Kepas, Besut ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, dengan menaiki ambulans selepas dibenarkan pulang dari Hospital Taiping, Perak.
“Doktor beritahu saya perlu memakai peralatan khas (baju besi) sebagai sokongan akibat kecederaan dalam kejadian itu.
“Buat masa ini, saya perlu pakai baju khas dan tidak boleh banyak bergerak. Doktor di HSNZ akan lihat dahulu keadaan saya sama ada perlu menjalani pembedahan atau bentuk rawatan yang bersesuaian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.
Menurut Wan Nor Masyitah, dia tiba di rumahnya di Kampung Lahar dari Hospital Taiping pada Jumaat.
“Saya sempat balik sehari ke rumah. Hari ini (Sabtu), saya perlu masuk ke hospital (HSNZ) untuk rawatan susulan,” ujarnya.
Wan Nor Masyitah yang mengalami keretakan pada tulang belakang dan tulang pinggul serta patah tulang paha berkata, dia masih tidak dapat melupakan detik cemas dalam tragedi tersebut.
“Saya sedar ketika bas dipandu laju sebelum terbalik. Waktu bas terbalik tu saya pengsan sekejap, tapi sedar balik dan terus cari cermin mata sebab tak nampak.
“Semua penumpang ketika itu terhimpit antara satu sama lain dan kedengaran suara meminta tolong. Saya terkedu, tak dapat buat apa-apa sebab cermin mata saya hilang. Saya hanya tolong sekadar termampu, syukurlah kawan sebelah saya selamat.
“Tapi tiga kawan baik saya, Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21; Sufea Adela Maslihaizan, 21; dan Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, meninggal dunia. Seorang lagi, senior saya semasa sekolah menengah, Nurly Sahirah Azman, 23, turut terkorban,” katanya dalam nada sebak.
Wan Nor Masyitah yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Kampung Raja, Besut turut memaklumkan bahawa keluarganya banyak membantunya dari segi penjagaan sepanjang tempoh rawatan.
“Ibu saya, Saripah Khatijah Syed Abu Bakar, 55, tidak bekerja, manakala ayah saya, Wan Husin Wan Daud, 61, tidak sihat kerana menghidap kencing manis, darah tinggi dan gout.
“Abang nombor lima, Wan Muhammad Naim, 27, yang bekerja sebagai peniaga, menanggung saya belajar. Kakak saya pula merupakan OKU psikiatri dan bergantung sepenuhnya kepada ubat,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin lalu, bas yang membawa 42 penumpang dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat sekeluarga berhampiran Tasik Banding.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
