Seminggu selepas tragedi, rumah keluarga Nurly Shahirah masih dikunjungi

Naskhah al-Quran yang ditulis tangan oleh Allahyarham Nurly Shahirah, 23, jadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke rumah keluarganya. Foto Bernama
Naskhah al-Quran yang ditulis tangan oleh Allahyarham Nurly Shahirah, 23, jadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke rumah keluarganya. Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - Kediaman keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nurly Shahirah Azman, yang juga seorang hafizah al-Quran, tidak putus-putus dikunjungi orang ramai walaupun hari ini genap seminggu kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak.

Abang Allahyarham, Mohd Najmuddin, 28, berkata rumah mereka setiap hari menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai latar belakang dan dari segenap pelosok negara yang kebanyakannya ingin melihat sendiri naskhah al-Quran lengkap hasil tulisan tangan adik perempuannya.

“Orang ramai datang tidak putus-putus dari pelbagai tempat seperti Pulau Pinang, bagi mengucapkan takziah kepada ibu bapa saya dan ingin melihat mushaf yang disalin semula oleh arwah adik.

“Ada yang datang seawal selepas solat Subuh dan hanya lengang sedikit menjelang waktu Maghrib,” katanya ketika ditemui Bernama di rumah mereka di Kampung Gong Pasir di sini.

Mohd Najmuddin berkata, bukan sahaja ibu bapa dan adik-beradiknya, malah jiran tetangga serta penduduk kampung turut menyingsing lengan membantu menyediakan makanan dan minuman untuk dihidangkan kepada tetamu.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Azman Mohamad, 63, berkata, kunjungan orang ramai termasuk tetamu yang tidak dikenalinya sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepada mereka sekeluarga untuk menghadapi kehilangan insan tersayang.

Pesara kerajaan itu turut bersyukur kerana meskipun telah berusia, beliau masih dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa bertenaga melayani kehadiran tetamu setiap hari.

“Alhamdulillah, pada waktu seperti ini saya diberi kekuatan oleh ALLAH untuk melayan tetamu, sedangkan sebelum ini saya sering berasa letih dan perlu tidur sebentar sekitar jam 10 atau 11 pagi,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lalu, Nurly Shahirah dan 14 lagi pelajar UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak, terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza di JRTB, Gerik.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi mangsa cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!