Anak Tommy Thomas ditahan dalam protes pro Palestin, mungkin hilang sebelah penglihatan

SYDNEY – Anak kepada bekas Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Tommy Thomas, Hannah Thomas, 35, didakwa oleh polis Australia atas kesalahan menghalang atau melawan arahan semasa menyertai satu protes pro-Palestin di Sydney.
Menurut laporan ABC News, Hannah menerima Notis Kehadiran Mahkamah (Future Court Attendance Notice) selepas didakwa enggan mematuhi arahan polis untuk bersurai dan cuba menghalang tugas seorang pegawai.
Beliau kemudiannya ditahan dan insiden penahanan tersebut menyebabkan kecederaan serius pada wajahnya.
Peguam Hannah, Peter O'Brien, memaklumkan bahawa anak guamnya kini menerima rawatan di hospital dan berkemungkinan kehilangan penglihatan mata kanan secara kekal.
Hannah yang pernah bertanding sebagai calon Parti Greens dalam pilihan raya persekutuan Australia bagi kerusi Grayndler kini dijadualkan hadir di Mahkamah Tempatan Bankstown pada 12 Ogos ini.
Protes yang dihadiri sekitar 50 hingga 60 orang itu diadakan di hadapan sebuah premis perniagaan di barat Sydney.
Para penunjuk perasaan mendakwa premis tersebut terlibat dalam penyediaan perkhidmatan penyaduran komponen yang digunakan dalam teknologi pertahanan dan pesawat tempur F-35 yang digunakan oleh tentera Israel.
Pihak polis New South Wales menafikan penggunaan undang-undang anti-protes dalam penahanan tersebut dan menyatakan bahawa perintah bersurai dikeluarkan kerana peserta didakwa menghalang laluan pejalan kaki ke premis tersebut.
Ahli Parlimen Parti Greens, Sue Higginson, menyuarakan kebimbangan terhadap kecederaan Hannah dan mendesak agar siasatan insiden ini diklasifikasikan sebagai “insiden kritikal”.
Sementara itu, Premier New South Wales, Chris Minns, menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk mengulas sama ada tindakan penahanan itu wajar di bawah undang-undang anti-protes kerajaan negeri.
“Saya mengambil berat terhadap kecederaannya dan saya harap beliau pulih dengan segera,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

