Pemuda pulang buat kejutan selepas tujuh tahun di Australia

Tujuh tahun

Mohamad Hilmi memakai kostum arnab untuk membuat kejutan kepada ibu bapanya.
Mohamad Hilmi memakai kostum arnab untuk membuat kejutan kepada ibu bapanya.
A
A
A

KOTA BHARU - Demi mengubah nasib keluarga, seorang pemuda dari Kampung Kuala Balah, Jeli sanggup berhijrah ke Melbourne, Australia dan meninggalkan tanah air selama tujuh tahun.

Mohamad Hilmi Muhd Shamsuddin, 33, nekad menjual topi keledar serta beberapa barangan kesayangannya sebagai modal awal untuk memulakan kehidupan baharu di negara itu pada usia 26 tahun.

Menurut Mohamad Hilmi, hasil usahanya bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi turut membantunya mengumpul lebih RM10,000 sebagai persediaan meneruskan kehidupan di sana.

Mohamad Hilmi (tengah) bersama kedua ibu bapanya dan ahli keluarga merakan kenangan ketika kepulangannya.
Mohamad Hilmi (tengah) bersama kedua ibu bapanya dan ahli keluarga merakan kenangan ketika kepulangannya.

“Sebagai anak sulung daripada 12 beradik dan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya nekad mempertaruhkan kehidupan di sana untuk mencari pengalaman dan memperbaiki nasib keluarga.

“Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa dan kesungguhan diri, saya berjaya mendapat pekerjaan di Pasar Cranbourne di Melbourne,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohamad Hilmi berkata, pekerjaan tersebut cukup berbaloi untuk menimba pengalaman serta mencari rezeki, sambil merancang masa depan yang lebih baik.

“Saya bukan daripada keluarga berada dan perlu berusaha keras untuk mengubah kehidupan kami,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bapanya Mohd Shamsudin Hussin, 60, dan ibunya Rohani Zakaria, 55, menjual roti canai di kampung untuk menyara kehidupan dan membesarkan anak-anak.

Jelasnya lagi, setiap hari dia perlu mengangkat dan menyusun buah-buahan yang dihantar ke pasar tersebut, namun berasa bersyukur kerana mendapat bantuan dan kerjasama daripada rakan-rakan di sana.

Menceritakan keputusannya berhijrah ke negara kanggaru itu, Mohamad Hilmi berkata, pada mulanya beliau tidak mengenali sesiapa, tetapi gigih mendapatkan maklumat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Mohamad Hilmi turut bersyukur kerana dapat membantu ibu bapa menyekolahkan adik-beradiknya, dan kini tiga daripada mereka sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Tambahnya, sepanjang tujuh tahun berada di Australia, beliau tidak pernah pulang ke kampung demi menjimatkan perbelanjaan dan hanya menghubungi keluarganya melalui aplikasi WhatsApp.

Mohamad Hilmi (tengah) bersama kedua ibu bapanya dan ahli keluarga merakan kenangan ketika kepulangannya.
Mohamad Hilmi (tengah) bersama kedua ibu bapanya dan ahli keluarga merakan kenangan ketika kepulangannya.

Beliau turut berpesan kepada mereka yang ingin berhijrah ke luar negara supaya berani, bertawakal dan sentiasa berdoa agar dikurniakan kekuatan.

Dalam pada itu, Mohamad Hilmi kini sedang merancang untuk membuka perniagaan dalam bidang pertanian dan penternakan di tanah air.

“Saya tidak akan kembali lagi ke Australia selepas pulang pada 16 Jun lalu dan berharap mendapat rezeki yang lebih baik di bumi sendiri selepas ini,” katanya.

Kepulangan Mohamad Hilmi disambut meriah oleh adik-beradiknya yang lain, dan pemuda itu turut tampil memakai kostum arnab untuk membuat kejutan kepada kedua ibu bapanya.

Hari istimewa itu turut dikongsikan oleh ahli keluarganya di media sosial dan menerima pelbagai ucapan tahniah daripada rakan-rakan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!